
.
Terdapat beberapa perkara yang perlu anda ambil berat semasa mencari dan membeli rumah. Ini kerana anda bakal tinggal buat jangka masa yang panjang di rumah tersebut atau sekiranya anda ingin menyewakan, penyewa pastinya mengharapkan rumah yang selesa.
.
𝟏) 𝐊𝐞𝐚𝐝𝐚𝐚𝐧 𝐑𝐮𝐦𝐚𝐡
Perkara yang penting adalah rumah berada dalam keadaan yang baik. Semasa anda melawat rumah, sila teliti setiap bahagian dan sudut apakah terdapat kebocoran, retakan atau kerosakan lain. Sekiranya ada, sila beritahu kepada tuan rumah dan berbincang tentang kos membaik pulih kerosakan tersebut. Dalam sesetengah keadaan, penjual tidak mahu membaik pulih tetapi bersedia untuk menurunkan harga jualan.
.
𝟐) 𝐃𝐨𝐤𝐮𝐦𝐞𝐧 𝐑𝐮𝐦𝐚𝐡
Jika anda telah menemui rumah idaman anda dan sekiranya ia rumah subsale, penting untuk anda semak bahawa tuan rumah mempunyai dokumen yang lengkap. Pastikan kerja-kerja ubahsuai dan renovasi yang ada mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan. Ubahsuai khususnya penambahan bangunan yang tidak mendapat kelulusan PBT tidak akan diambil kira untuk nilaian.
.
𝟑) 𝐊𝐨𝐬 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐞𝐧𝐠𝐠𝐚𝐫𝐚𝐧
Bagi kediaman bertingkat (strata) atau rumah bertanah (‘landed’) yang mempunyai pengurusan, perlu anda ambil tahu kos penyelenggaraan bagi rumah tersebut. Sesetengah pembeli gagal mengambil kira kos ini sebelum pembelian dan menjadi sebab selepas itu. Selain itu, pastikan bahawa bangunan atau kawasan kediaman tersebut terjaga dan diuruskan dengan baik sebelum membeli. Contohnya dengan melihat kepada keadaan lif dan kolam renang yang berada dalam keadaan baik serta kawasan bersama (‘common areas’) berada dalam keadaan bersih.
.
𝟒) 𝐊𝐞𝐣𝐢𝐫𝐚𝐧𝐚𝐧
Elakkan membeli rumah di kawasan kejiranan yang kurang positif seperti mempunyai sejarah jenayah yang tinggi. Kejiranan adalah penting bagi memastikan keselesaaan dan keselamatan rumah anda serta mempunyai gaya hidup yang aman dan harmoni. Kawasan yang mempunyai kadar jenayah tinggi boleh mempengaruhi permintaan dan seterusnya menyebabkan penurunan nilai hartanah.
.
𝟓) 𝐊𝐞𝐦𝐮𝐝𝐚𝐡𝐚𝐧
Kediaman yang berdekatan dengan kemudahan adalah penting seperti mempunyai sekolah, masjid, kawasan perniagaan, pengangkutan awam dan sebagainya. Sekiranya rumah tersebut berada di kawasan luar bandar tetapi mempunyai akses kepada kemudahan yang baik, anda boleh pertimbangkannya. Perumahan yang mempunyai kemudahan yang banyak serta akses yang baik kepada pengangkutan awam biasanya mendapat permintaan yang tinggi dan mendorong kepada peningkatan sewa yang lebih cepat serta kenaikan nilai yang tinggi.
.
𝟔) 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐭𝐚𝐧𝐠
Lokasi rumah yang terletak di kawasan yang berpotensi untuk pembangunan akan datang juga memainkan peranan penting. Pembangunan akan datang boleh membantu meningkatkan nilai pasaran sesuatu hartanah seperti kewujudan pusat beli belah dan komersil, pengangkutan awam dan kemudahan lain.
Namun begitu, harus diingatkan terdapat juga kemungkinan di mana pembangunan yang akan dilakukan pada masa akan datang boleh menjejaskan nilai pasaran rumah anda contohnya berhampiran kawasan loji kumbahan atau mungkin juga pembinaan bangunan lain yang lebih tinggi bersebelahan bangunan anda sehingga menutup pandangan rumah anda. Contohnya pemandangan KLCC atau kawasan hijau terhalang selepas wujudnya bangunan baru di sebelah.
Comment