KUALA LUMPUR: Penyedia urus niaga hartanah dalam talian, Ohmyhome Sdn Bhd (Ohmyhome) memperluaskan perniagaannya ke Malaysia dengan menyasarkan 1,000 penyenaraian dan 100 transaksi bernilai RM70 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir Julai 2020.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rhonda Wong, berkata sasaran itu mampu dicapai melalui model hibrid yang unik iaitu platform lakukan sendiri atau (‘Do It Yourself atau DIY) yang ditawarkan secara percuma selain menyediakan khidmat daripada ejen yang terlatih.
“Ohmyhome sudah sedia dikenali dan mencatatkan kedudukan teratas bagi aplikasi urus niaga pasaran hartanah di Singapura, sejak dilancarkan pada September 2016.
“Berdasarkan prestasi sangat positif itu, kami kini bersedia menerokai pasaran di Malaysia, khususnya di Lembah Klang bagi membantu rakyat di negara ini mendapat pilihan hartanah terbaik,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Ohmyhome di sini, hari ini.
Sejak dilancarkan pada September 2016, Ohmyhome merekodkan lebih 4,500 transaksi penjualan kediaman dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM5 bilion.
Beliau berkata, Ohmyhome adalah pilihan aplikasi terbaik untuk menjadikan urus niaga lebih mudah, cepat dan berpatutan.
“Platform DIY yang disediakan menghubungkan pemilik rumah dan bakal pembeli secara langsung tanpa membabitkan sebarang kos.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang masih menginginkan bantuan dan khidmat rundingan, kami turut menyediakan khidmat ejen terlatih pada harga kompetitif dengan komisien hanya tiga peratus,” katanya.
Mengulas lanjut, Wong berkata, Malaysia memiliki potensi tinggi berikutan pasarannya lebih besar daripada Singapura.
“Pada peringkat permulaan ini, kami akan memfokuskan di kawasan Lembah Klang, sebelum merancang pengembangan ke Johor Bahru pada awal tahun depan.
“Pada masa ini, seramai 10 ejen akan beroperasi di Malaysia dan kami menyasarkan penambahan ejen sehingga 30 ejen pada akhir suku pertama ini,” katanya.
Ohmyhome boleh didapati menerusi laman web, ‘mobile web’ dan Google Play Store. Sehingga ini, hampir 300,000 sudah memuat turun aplikasi Ohmyhome dengan purata 52,000 pengguna aktif sebulan.