KUALA LUMPUR: Sektor hartanah dijangka akan bertambah pulih pada separuh kedua 2018, berikutan reaksi pasaran terhadap Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semakin reda, demikian menurut Ketua Pelaburan Axis REIT Managers Bhd, Siva Shanker.
Beliau berkata, jumlah transaksi meningkat sebanyak empat peratus pada Januari dan Februari lalu.
“Pasaran mengambil pendekatan tunggu dan lihat semasa PRU14. Bagaimanapun, hasil daripada pilihan raya itu menyebabkan keadaan pasaran berubah secara positif.
“Untuk separuh tahun kedua dan 2019, pasaran dijangka kembali pulih dan terus meningkat, sekali gus bertentangan dengan keaadan suram pada 2017,” katanya pada Forum Affin Hwang AM Investment 2018, di sini, semalam.
Beliau berkata, walaupun hutang isi rumah meningkat, permohonan pinjaman perumahan meningkat kira-kira 15 peratus manakala jumlah pinjaman yang diluluskan meningkat kepada 15.9 peratus.
“Bagaimanapun, nisbah kelulusan dan permohonan kekal pada 42. 3 peratus dan angka itu boleh ditambah baik,” katanya.
Dalam pada itu, Siva berkata, isu berkaitan pembelian rumah pertama harus diberi perhatian dan ia boleh ditangani dengan memberi pinjaman dengan lebih mudah serta menghasilkan lebih banyak projek rumah mampu milik.
“Sehingga kini, masih tiada definisi yang tetap untuk perumahan mampu milik kerana ia berlainan bagi setiap pemaju hartanah berbeza. Malah, jumlah rumah mampu milik juga tidak memenuhi permintaan.
“Unit perumahan yang bernilai RM500,000 sehingga RM1 juta serta segmen kediaman SOHO dan SOFO sebenarnya menghadapi isu lebihan bekalan,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, pasaran perlu mula menawarkan kelas aset alternatif, termasuk bangunan komersial, kerana ia bakal menjadi pilihan dalam kalangan pelabur.
“Ia akan memberi peluang kepada golongan millennial untuk membeli rumah manakala pelabur boleh terus membuat pelaburan,” katanya.