SHARE AND LIKE THIS POST

IPOH – Setiap pemaju perumahan di Perak diminta memperuntukkan kuota sebanyak 5 peratus untuk golongan orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan belia bagi membolehkan mereka memiliki rumah di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan  negeri mahu pendekatan itu dipatuhi pemaju sebagai tanggungjawab sosial korporat dalam usaha tidak meminggirkan golongan berkenaan untuk memiliki kediaman.

“Dalam mesyuarat kerajaan negeri baru-baru ini, kita membincangkan tentang peluang dan bagaimana pendekatan untuk memudahkan golongan ini memiliki rumah.

 

“Jadi, saya anjurkan semua pihak termasuk pemaju perumahan supaya melaksanakan pendekatan ini. Ia bukan dasar yang menjadi kemestian tetapi menunjukkan dasar berkebajikan kita yang prihatin kepada keperluan rakyat khususnya golongan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Jualan Edisi Perak Perbadanan  program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Ipoh Convention Centre di sini, petang semalam.‎

Zambry berkata, dasar itu juga dilaksanakan kerajaan negeri melalui pembinaan kawasan perumahan kos rendah dan mampu milik yang dipelopori Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sejak beberapa tahun lalu.

“Kita telah mulakan polisi ini melalui LPHP dan kita harap pemaju swasta lain dapat berikan kerjasama untuk mengembangkannya,” kata beliau.

Dalam  perkembangan lain, beliau berkata lebih 38,000 unit rumah kos sederhana dan mampu milik ditawarkan kepada isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) di Perak.

Sebanyak 70 peratus daripada rumah berkenaan terletak di Bandar Meru Raya, Teluk Intan,  Kamunting,  Lumut dan Sitiawan dan dijual pada harga bawah RM250,000 seunit.

– Bernama

Comment

BERI MAKLUM BALAS