KUALA LUMPUR 21 Julai – Bank-bank komersial telah meluluskan lebih RM25.7 bilion pinjaman bagi tujuan pembelian hartanah kediaman di antara Januari hingga Mei tahun ini.
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM24.6 bilion telah disalurkan kepada peminjam.
“Bagi kes pembelian kediaman menggunakan kaedah pajakan, pihak bank menawarkan produk yang bersesuaian dengan tahap pendapatan pembeli.
“Produk pembiayaan rumah merangkumi pelbagai ciri antaranya fleksibiliti dan kekerapan pembayaran, kombinasi antara terma pinjaman dan pembiayaan overdraf serta kemudahan pengeluaran semula pengeluaran,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
ABM juga berkata, terdapat beberapa produk khusus bank komersial yang disesuaikan dengan skim-skim perumahan kerajaan seperti Skim Jaminan Perumahan, Skim Rumah Pertamaku (SRP), Skim Istimewa Pembiayaan Akhir Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Skim Sewa Untuk Memiliki PR1MA.
Tambahnya, produk pembiayaan rumah bank komersial disesuaikan dengan peminjam daripada aspek pendapatan dan jenis hartanah yang ingin dibeli termasuk rumah mampu milik.
Berhubung dengan permohonan yang ditolak, persatuan itu menjelaskan punca utama kerana nisbah perkhidmatan hutang (DSR) yang tinggi, mempunyai rekod buruk terhadap pinjaman yang lepas serta tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi bagi menampung jumlah pembiayaan yang dipohon.
“Tempoh bekerja dan memulakan perniagaan juga mempengaruhi kelulusan sesuatu pinjaman dengan menilai kapasiti pemohon untuk membuat pembayaran dalam jangka sederhana dan panjang.
“Dokumen sokongan yang lemah dan rekod perbankan yang tidak konsisten boleh menyebabkan permohonan mereka ditolak kerana kekurangan bukti,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, dalam usaha pihak bank untuk mengembangkan lagi portfolio pinjaman, mereka harus melindungi kepentingan pendeposit dan terikat dengan peraturan seperti polisi kredit dalaman bagi memastikan peminjam tidak dibebani dengan tanggungan pembiayaan.


