Apakah aspek yang perlu diambil berat sebelum membeli rumah dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu ini?
Perancangan kewangan adalah sangat penting dalam keadaan ssperti ini. Saya cadangkan agar sesiapa yang mahu membeli rumah perlu mengambil kira tentang kewangan sendiri. Beli rumah ikut kemampuan kewangan. Kalau boleh beli rumah yang nilainya tidak melebihi empat tahun gaji supaya nilai bayaran ansuran bulanan tidak melebihi 30 peratus daripada gaji bulanan. Contohnya, gaji sebulan RM2,500 darab dengan 4 tahun gaji, itulah nilai rumah yang layak untuk dibeli agar ia tidak mengganggu aliran wang sedia ada, seterusnya menyebabkan perancangan kewangan tidak teratur.
Apakah cara untuk membeli rumah yang tidak mengganggu aliran tunai?
Pembeli boleh maksimumkan tempoh pembiayaan dengan pihak bank agar dapat meminimumkan pembayaran bulanan supaya aliran tunai lebih stabil.
Pembeli boleh memaksimumkan tempoh bayaran daripada 30 tahun kepada 35 tahun agar bayaran ansuran bulanan rumah lebih rendah. Mungkin dengan tempoh 30 tahun bayaran RM1,500 tetapi dengan memanjangkan tempoh pembiayaan jumlahnya hanya RM900 sebulan. Walaupun ia dikatakan sedikit merugikan tetapi ia membantu bagi mereka yang tidak berkemampuan.
Bagaimana mahu beli rumah tetapi tiada simpanan?
Saya nasihatkan pembeli, jangan sekali-kali menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli rumah kerana ia umpama menggadaikan masa depan persaraan.

KWSP adalah wang persaraan pengguna, jika guna sekarang ia akan merugikan pengguna. Tetapi jika tetap mahu guna KWSP, pembeli perlu berhati-hati dan mungkin sebagai pilihan terakhir.
Ini kerana menurut statistik yang dikeluarkan oleh KWSP sebanyak 60 peratus pencarum KWSP menghabiskan wang mereka dalam tempoh tiga tahun selepas bersara. Keadaan ini adalah sangat bahaya.
Seelok-eloknya pembeli harus mempunyai simpanan sedia ada untuk membeli rumah idaman.
Bolehkah beli rumah dalam keadaan gawat?
Masa ini adalah saat yang sesuai untuk membeli rumah dengan harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran kerana ramai pemilik rumah terdesak untuk menjual rumah bagi menampung keperluan atau hutang lain. Hal ini terbukti dengan adanya banyak iklan-iklan jual rumah di dalam laman-laman jualan hartanah.
Beli rumah subsales adalah pelaburan yang berisiko rendah sekiranya dibeli ketika ini.
Jika beli rumah subsales, mungkin boleh dapat 10 peratus lebih murah. Kalau jual RM200,000 kita boleh dapat dengan harga RM180,000. Kita akan jimat dengan mengurangkan deposit yang dikeluarkan.
Jadi, ini adalah peluang keemasan bagi mereka yang ingin memiliki rumah dengan harga yang murah.
Adakah sesuai jika membeli rumah baharu ketika ini?
Saya nasihatkan jangan beli rumah yang dalam pembinaan kerana ia mempunyai risiko yang tinggi untuk menjadi projek terbengkalai.
Dalam keadaan ekonomi meleset ini, kos-kos pembinaan akan meningkat ia akan menyebabkan pemaju mengalami masalah kewangan dan menyebabkan projek tergendala.
Jika mahu beli rumah baharu juga, pembeli kena berhati-hati dengan mengambil tahu latar belakang syarikat pemaju. Jika ada wang, pembeli boleh beli rumah subsales atau lelong yang jauh lebih menguntungkan pembeli.
Beli rumah jauh tetapi murah, adakah ianya relevan?
Tidak dinafikan banyak rumah yang murah berada di luar Kuala Lumpur. Jadi pasti ramai pembeli yang memilih untuk membeli rumah di sana. Bagi pembeli yang bekerja di Kuala Lumpur, kos perjalanan akan meningkat sekiranya mereka berulang-alik. Bukan itu sahaja, pembeli juga akan berkorban masa di dalam perjalanan.
Oleh sebab itu, saya menganggap tindakan itu adalah sesuatu yang tidak sihat.
Saya cadangkan jika pembeli sudah pun membeli rumah tersebut, mungkin boleh menyewa rumah yang lebih dekat dengan tempat kerja dan sewakan rumah sedia ada.
Beli rumah tidak bermakna pembeli perlu mendudukinya, pembeli boleh menyewakan rumah itu, jadikan ia homestay mahupun asrama yang boleh mendatangkan keuntungan kepada pembeli.



