5 perkara dijangka berlaku dalam industri hartanah 2017

1239
0
SHARE AND LIKE THIS POST

Walaupun dah sampai tahun 2017, masih tidak terlewat untuk menjangka keadaan dalam industri hartanah pada tahun 2017.Disini admin senaraikan 5 perkara dijangka berlaku dalam industri hartanah 2017.

1. Tahun yang bagus untuk penyewa.
Tahun 2017 akan menyaksikan banyak rumah baharu siap. Ramai pemilik rumah akan berada dalam keadaan terdesak untuk bersaing mencari penyewa. Ketika rumah sewa lebih banyak daripada penyewa, tuan rumah terpaksa memberikan harga yang lebih rendah.

Malah ada yang menawarkan sewa pada harga yang lebih rendah daripada apa yang tuan rumah perlu bayar kepada bank. Penyewa akan ada lebih banyak pilihan dan peluang untuk berunding kadar sewa dengan tuan rumah.

2. Rumah mampu milik akan menjadi trend
Apabila pasaran hartanah naik pada tahun 2010 hingga 2014, hampir apa saja yang dijual oleh pemaju akan habis direbut. Melihat kepada pasaran ekonomi yang baik ketika itu, banyak pemaju membina rumah High End yang berharga lebih RM1 juta sebuah.

Tetapi malangnya apabila rumah-rumah High End ini siap pada 2015 dan 2016, ekonomi tidak lagi sihat seperti sebelum­nya. Akibatnya berlaku lambakan rumah-rumah High End sehinggakan ada projek yang sudah siap dengan CCC (Sijil Kelaya­kan Menduduki) tetapi masih ada unit yang tidak terjual lagi.

Melihat kepada fenomena ini, pemaju akan beralih arah membina lebih banyak rumah mampu milik yang mendapat permintaan tinggi berbanding segmen produk yang lain. Ini ditambah pula dengan galakan daripada kerajaan untuk pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik.

3. Saiz rumah lebih kecil
Apabila pemaju menyediakan rumah mampu milik deng­an harga yang lebih murah, berlakunya tekanan kepada pemaju untuk mengurangkan kos. Salah satu daripada tindakan yang akan diambil oleh pemaju untuk mengurangkan kos dan membuatkan unit-unit mereka lebih mampu milik ialah dengan menawarkan rumah yang kecil.

Sebelum 2009, saiz apartmen yang berukuran 1,100 kaki persegi menjadi kelaziman. Pada tahun 2010-2015, saiz 900 kaki persegi pula sudah boleh diterima oleh pembeli. Tahun 2017 ke atas akan menyaksikan lebih banyak unit yang ditawarkan dengan keluasan antara 700 hingga 900 kaki persegi.

4. Selatan Greater KL lebih menjadi tumpuan
Melihat kepada harga harta­nah yang semakin tinggi di Kuala Lumpur, pembeli akan mencari rumah di kawasan lain. Bagi pembeli yang inginkan rumah-rumah bertanah seperti rumah teres, mereka ada pilihan yang banyak di kawasan Selatan Greater KL.

Kawasan Selatan Greater KL ini meliputi selatan lebuhraya SILK dan SKVE seperti di kawasan Kajang, Semenyih, Ba­ngi, Cyberjaya, Salak Tinggi dan Nilai. Banyak projek hartanah di situ akan siap pada tahun 2017.

Kemudahan infrastruktur baharu yang akan siap dan mula dibina akan menarik pembeli untuk memiliki rumah di kawasan Selatan Greater KL. Antara infrastruktur yang akan siap ialah MRT SBK Sungai Buloh-Kajang yang akan siap pada pertengahan 2017 dan MRT SSP Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang akan siap pada tahun 2022.

5. Peminjam rumah perlu prihatin kepada perubahan kadar faedah
Semenjak 2009 kadar faedah telah naik dan naik seperti tidak mahu jatuh. Sehinggalah Gabenor Bank Negara Malaysia, Muhammad Ibrahim mengambil alih jawatan tersebut. Perkara pertama yang beliau lakukan menurunkan OPR (Overnight Policy Rate) kepada 3 peratus menyebabkan kadar faedah mula turun sedikit setelah sekian lama.

Tahun 2017 sangat sukar diramal sama ada Bank Negara akan mengubah OPR atau tidak ekoran ketidaktentuan dalam politik negara. Ini telah terbukti berlaku sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di mana terdapatnya khabar angin bank pusat akan mengubah OPR, tetapi akhirnya tidak menjadi kenyataan sehinggalah selesai PRU ke-13.

Comment

BERI MAKLUM BALAS