Harga rumah boleh stabil jika pengangkutan awam cekap?

341
0
SHARE AND LIKE THIS POST

image-2BARU-BARU ini penulis ber­bincang dengan beberapa orang rakan yang boleh dianggap berjaya dan be­kerjaya tentang pelbagai isu dari kisah politik, ekonomi hingga isu rumah mampu milik yang boleh di­­kategorikan sebagai mustahil milik terutamanya untuk go­long­an berpendapatan rendah dan sederhana di Lembah Klang ini.

Lalu tercetus suatu idea yang difikirkan boleh diguna pakai oleh pihak pembuat dasar bagi membolehkan rumah dapat dibeli oleh semua lapisan rakyat Malaysia yang berkeluarga dan bujang. Dalam masa yang sama ia tidak membuatkan ekonomi keluarga dan negara terkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis pelancaran Laporan Lima Tahun Trans­formasi Peng­angkutan Awam Darat oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sempena Simposium Pengangkutan Awam Darat 2016 baru-baru ini menegaskan, kerajaan komited dan serius dalam usaha mentransformasikan industri pengangkutan awam darat negara.

Sejajar dengan komitmen itu, katanya, peruntukan per­belanjaan kerajaan dalam fokus tersebut tidak akan terjejas walaupun dalam situasi ketidaktentuan ekonomi global khususnya dalam meningkatkan tahap kesalinghubungan rel di bandar yang dinikmati rakyat ketika ini.

Justeru beliau menjelaskan, projek-projek infrastruktur utama seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Singapura, Mass Rapid Transit (MRT) dan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) akan diteruskan untuk masa depan negara demi memberi kemudahan kepada rakyat dan generasi akan datang.

Ucapan Najib ini bukan sekadar ucapan biasa bagi me­menuhi atur cara majlis, ia sesungguh­nya mengandungi makna kepada permasalahan pemilikan rumah yang membelenggu rakyat negara ini khususnya yang tinggal di Lembah Klang.

Dalam letusan harga rumah yang amat menakutkan, idea untuk meningkatkan kualiti sistem pengangkutan oleh kerajaan harus disokong oleh rakyat negara ini. Bolehkah kita bayangkan seawal pukul 6 pagi, ramai yang sudah beratur di Stesen Keretapi Ipoh untuk menaiki kereta api laju ke tempat kerja pada pukul 8 pagi di Kuala Lumpur mahupun Putrajaya.

Begitu juga bagi pemilik ­rumah di Meru, Ipoh dan menaiki bas perantara dari Meru seawal pukul 5.30 pagi.

Sebaiknya, sistem bas perantara dan semua sistem pengangkutan beroperasi 24 jam bagi mewujudkan sistem pengangkutan yang berdaya maju.

Kelancaran sistem pengangkutan sedemikian bukan sahaja menguntungkan dari segi produktiviti rakyat, malahan dengan kapasiti rakyat yang ramai menggunakan pengangkutan kereta api laju harga tiket boleh ditetapkan pada kadar yang berpatutan apabila projek HSR siap kelak.

Apa yang paling penting harga rumah di sepanjang laluan HSR tersebut perlu mampu milik dalam erti kata sebenar iaitu mengikut pendapatan isi rumah. Jangan pula spekulator hartanah menjadikan ia sebagai sebab untuk menjual harga rumah dengan sebegitu tinggi harganya sebagaimana di Lembah Klang.

Bagi menjayakan pemilikan rumah dengan harga yang mampu milik dasar peringkat nasional dan negeri perlu se­iring dan peri pentingnya kerajaan yang senada dalam perjuangan membela rakyat diwujudkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Kita mahu orang ­Perak, Kedah mahupun Perlis pergi kerja di Glenmarie Shah Alam mahupun Melaka dalam masa dua jam sahaja.

Dalam masa yang sama masih boleh memiliki rumah sendiri dan hanya perlu bimbang de­ngan kos pengangkutan HSR yang perlu dirasionalkan de­ngan upah mahupun gaji ma­sing-masing. Harga rumah pula memerlukan dasar kawalan dari kerajaan negeri agar pembinaan rumah bercampur-campur dilaksanakan mengikut kelompok pendapatan rakyat.

Isu premium tanah yang tinggi untuk projek perumahan perlu dirasionalkan oleh kerajaan negeri yang mana HSR melalui muka buminya. Dasar tidak menekan pemaju sudah pasti akan mewujudkan situasi menang-menang kepada kerajaan negeri dan pemaju yang merupakan syarikat yang lebih memokuskan kepada keuntungan.

Harga rumah baharu yang lebih mampu milik perlu diwujudkan selaras dengan kemajuan sistem pengangkutan di negara kita. Mungkinkah harga rumah boleh distabilkan dengan kewujudan MRT, LRT dan HSR?

Hanya masa yang akan menentukan kelak.

Comment

BERI MAKLUM BALAS