KUALA LUMPUR 24 Okt. – Skim pembiayaan akhir step-up khas bagi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak dibimbangi menjadi penyebab kepada peningkatan hutang isi rumah.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, ini kerana rumah adalah hartanah asas dan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) ketika ini adalah pada tahap yang rendah.
Katanya, isi rumah yang menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman boleh menggunakan skim ini dengan satu struktur pembiayaan akan dibentuk supaya golongan ini dapat membuat pinjaman yang mampu dibayar oleh mereka.
“Sudah tentu mereka perlu membayar pinjaman ini. Apa yang boleh dibuat adalah jumlah bayaran pembiayaan boleh dikurangkan pada beberapa tahun pertama dan kemudian naik sedikit demi sedikit. Inilah yang dipanggil skim pembiayaan akhir step-up.
“Kerajaan juga akan menawarkan bantuan kewangan bagi sebahagian daripada pembiayaan pada peringkat awal jika pembeli tidak mampu,” katanya dalam Dialog Selepas Bajet 2017 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden MEA, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim.
Pada Bajet 2017 Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan skim pembiayaan akhir step-up khas baharu bagi pembelian rumah PR1MA dengan usaha sama Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bank-bank.
Mengenai bajet pendidikan tinggi yang dikurangkan, Mohd. Irwan Serigar berkata, pihaknya tidak memotong bajet sesebuah agensi sebaliknya mengurangkan perbelanjaan dari bahagian-bahagian yang boleh dikurangkan.
Beliau berkata, bagi pendidikan tinggi, sesetengah universiti mempunyai pendapatan mereka sendiri yang juga boleh digunakan untuk kos operasi mereka.
“Jadi kita tidak potong. Kita tengok universiti mana yang ada pendapatan sendiri dan yang mana tidak ada. Jadi secara keseluruhan kita tidak potong bajet tapi melakukan penjimatan yang banyak,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga mengambil contoh usaha kerajaan dengan mengubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Kita tak perlu bina bangunan IPG baharu. Satu bangunan baharu mengambil kos kira-kira RM200 juta tapi kita ambil sembilan bangunan untuk TVET dan menyediakan wang untuk pengubahsuaian dan membeli peralatan yang seterusnya menjadikan kos lebih rendah,” jelasnya.