SHARE AND LIKE THIS POST

18102016INDUSTRI hartanah perlu berusaha untuk mencapai pertumbuhan produktiviti dan meraih bahagian pasaran berdasarkan kualiti produk dan perkhidmatan, inovasi, kreativiti dan keusahawanan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, hal ini sejajar dengan langkah progresif Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi, berikutan daya saing yang dicapai dengan menggunakan sumber dan buruh kos rendah tidak lagi mapan.

“Saya percaya industri hartanah mempunyai potensi untuk menyumbang kepada transformasi ekonomi Malaysia,” katanya.

Menurutnya, industri itu mempunyai kesan berganda dengan lebih 120 industri lain bergantung kepada pembinaan untuk pertumbuhan dan kemampanan.

Industri tersebut turut menyediakan peluang pekerjaan dengan tenaga kerja berdaftar sebanyak 1.2 juta, mewakili 9.5 peratus daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia.

Katanya, sektor pembinaan terdiri daripada industri hartanah dan infrastruktur antara pemacu pembangunan ekonomi Malaysia yang berjaya.

“Walaupun sektor pembinaan hanya menyumbang kira-kira empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 atau RM42 bilion, ia mempunyai hubungan dengan ekonomi secara keseluruhan, terutamanya sektor pembuatan dan perkhidmatan, yang menyumbang sebahagian besar daripada bahagian ekonomi, kira-kira 74 peratus daripada KDNK,” katanya.

Sementara itu, katanya, pasaran perumahan Malaysia tidak sekata dengan permintaan melebihi penawaran terutamanya segmen rumah mampu milik yang berharga di bawah RM250,000.

“Hanya 21 peratus daripada perumahan baharu di Malaysia berharga di bawah RM250,000 pada 2014 susulan lebihan penawaran hartanah bernilai tinggi yang berharga lebih RM500,000,” katanya.

Johari berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan rumah mampu milik yang berkualiti disediakan untuk rakyat terutamanya untuk pembeli rumah kali pertama.

Antara inisiatif itu ialah 170,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima) yang akan dijual 20 peratus di bawah harga pasaran.

“Sebanyak 10,000 unit dijangka siap pada 2017,” katanya.

Menurutnya, inisiatif lain termasuklah 10,000 Rumah Mesra Rakyat yang akan dibina oleh Syarikat Perumahan Nasional Bhd (SPNB) dengan subsidi sebanyak RM20,000 untuk setiap rumah.

Katanya, bagi menangani isu tersebut memerlukan bukan sahaja komitmen daripada kerajaan tetapi juga sokongan daripada sektor swasta termasuk golongan hartanah.

Isu pembelian rumah dalam Bajet 2017

ISU pembelian rumah dalam kalangan generasi muda dijangka menjadi antara keutamaan dalam Bajet 2017 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Oktober ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz berkata, isu ini perlu diberi perhatian berikutan ramai golongan muda tidak dapat memiliki rumah disebabkan harga yang tinggi.

“Ramai golongan muda tidak dapat membeli rumah disebabkan harganya yang mahal selain tidak mampu dari segi pendapatan.

“Perkara ini perlu dilihat dengan mencari kaedah untuk menangani ‘lompang’ yang wujud disebabkan komitmen kewangan lain seperti pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), kereta, sewa rumah dan sebagainya yang menyebabkan mereka tidak layak meminjam,” katanya.

Beliau yakin Bajet 2017 akan berupaya meneruskan pembangunan ekonomi negara dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Usaha kurangkan kos pembinaan

KERAJAAN Negeri Sembilan akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dalam masa terdekat ini untuk mengenal pasti kaedah mengurangkan kos pembinaan, sekali gus menurunkan harga hartanah berkaitan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dia telah meminta Rehda mengemukakan cadangan termasuk membabitkan kelonggaran syarat-syarat tanpa berkompromi aspek keselamatan.

“Kerajaan negeri akan berbincang dengan Rehda untuk melihat aspek pembangunan yang boleh dikecualikan bagi mengurangkan kos pembinaan dan harga.
“Misalnya jika ada syarat mengenai tangga kedua, kita akan melihat apa perlunya pembinaannya yang melibatkan perbelanjaan lebih tinggi serta mengurangkan ruang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, aspek lain yang diteliti adalah proses kelulusan sesebuah projek perumahan.

“Kita mahu melihat langkah untuk mempercepatkan proses kelulusan. Jika terlalu lama, ia hanya menambah kos kepada pemaju yang perlu membuat bayaran faedah kepada bank,” katanya.

Sementara itu, Mapex 2016 selama tiga hari di Seremban Prima yang bermula hari ini, menawarkan sebanyak 2,190 unit kediaman dan hartanah komersial bernilai RM1.98 bilion.

Seramai 18 pemaju perumahan dan sebuah bank tempatan menyertai ekspo bertemakan, Pemilikan Rumah Menerusi Pembiayaan Pintar.

Comment

BERI MAKLUM BALAS