BERIKUT adalah petikan soal jawab bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mengenai Bajet 2017 yang akan dibentangkan bulan ini.
Soalan (S): Apakah langkah yang sudah diambil oleh REHDA dalam membantu mencergaskan aktiviti sektor perumahan pada tahun 2015 dan 2016?
REHDA (R): Peranan menyediakan perumahan sosial perlu diserahkan semula kepada kerajaan menerusi sebuah badan berpusat dengan kuasa berkanun untuk membina rumah sedemikian. Pemaju sektor swasta perlu diberikan insentif untuk melaksanakan projek perumahan mampu milik dan dibenarkan untuk memberi fokus terhadap produk dipacu permintaan pasaran.
Bagi mengimbangi kenaikan kos pembangunan, REHDA mencadangkan perkara berikut kepada kerajaan, antaranya:
Kerajaan akan mengenal pasti dan menggunakan tanah milik negeri bagi tujuan membina perumahan mampu milik, khususnya jika tanah berkenaan tidak digunakan secara optimum
Menjadikan pembangunan di tanah milik kerajaan menjadi perumahan mampu milik berbanding hartanah mewah atau komersial
Memberi fokus untuk membina rumah mampu milik dengan mengubah kuota kos rendah kepada rumah mampu milik dengan permintaan lebih tinggi
Mengurangkan kos pemilikan rumah dengan mengekalkan kos pengambilalihan rendah, menurunkan duti setem bagi pemindahan hartanah, mengurangkan kadar cukai bagi membantu pemilikan rumah kos rendah dan lebih banyak program bantuan untuk membantu pembeli rumah pada peringkat awal pembelian.
Sementara itu, dalam usaha menangani masalah mendapatkan pembiayaan untuk pembeli rumah terutama rumah pertama, REHDA mencadangkan perkara berikut
1.Pembiayaan lebih murah kepada pembeli rumah pertama
2.Kriteria lebih fleksibel, bukan hanya menumpukan kepada pendapatan bersih semasa, tetapi mengambil kira gaji lebih tinggi pada masa depan, pendapatan lain, bonus dan sebagainya
3.Memperkenalkan skim pembiayaan mesra pembeli rumah yang baharu, kadar faedah lebih rendah dan tempoh pinjaman lebih lama
4.Menggalakkan pakej pembiayaan rumah inovatif, pakej untuk membantu pembeli rumah bagi memudahkan kos pembelian dengan jumlah awal lebih kecil.
S: Apakah pandangan REHDA terhadap arah aliran peningkatan harga di Lembah Klang, Pulau Pinang dan di seluruh negara sepanjang 2015 dan 2016?
R: Dengan kos pembangunan yang terus meningkat, adalah sukar untuk harga rumah turun. Bagaimanapun, dengan suasana ekonomi semasa, kadar peningkatan harga menjadi stabil di kebanyakan lokasi, kecuali beberapa ‘kawasan panas’ di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang mempunyai permintaan sangat tinggi.
Kesediaan tanah yang sesuai bagi pembangunan rumah di negeri maju itu adalah terhad. Dengan kadar urbanisasi yang tinggi di negeri berkenaan, permintaan bagi rumah secara konsisten meningkat dan tidak dapat dielakkan. Ketidakseimbangan bekalan dan permintaan yang tinggi menyebabkan kenaikan kos tanah.
S: Apakah penyumbang utama kepada arah aliran peningkatan harga rumah sepanjang 2015 dan 2016?
R: Faktor diterajui permintaan, tolakan kos. Kekurangan tanah menyebabkan kos dan harga rumah meningkat, khususnya di kawasan bandar. Harga di sesetengah kawasan, khususnya laluan tanah sepanjang pembangunan kemudahan pengangkutan seperti MRT dan LRT meningkat, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga rumah.
Kos pembinaan dijangka meningkat disebabkan kenaikan input binaan. Berlaku juga kenaikan kos agihan dan pematuhan. Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 meningkatkan harga input disebabkan kredit cukai input tidak dibenarkan, menambah kepada kos pembangunan dan menghasilkan kenaikan keseluruhan harga rumah.
S: Apakah cadangan REHDA untuk kerajaan mengawal kenaikan harga ini pada masa depan?
J: Memudahkan lebih banyak bekalan bagi memenuhi permintaan, khususnya di kawasan bandar yang relevan bagi mengekalkan harga rumah pada paras yang mapan.
Menangani isu kenaikan kos pematuhan, merancang keperluan, spesifikasi, kelulusan dan sebagainya. Syarikat utiliti swasta perlu menanggung model sendiri dan menjana semula pelaburan melalui tarif, berbanding mengenakan caj agihan modal ke atas pemaju.
Mengurangkan kos menjalankan perniagaan bagi industri untuk mengekalkan harga rumah pada paras yang lebih mampu milik. Menghapuskan subsidi bersilang membabitkan rumah kos rendah, kuota Bumiputera dan diskaun.
Peranan menyediakan rumah mampu milik perlu diserahkan semula kepada kerajaan. Menyediakan tanah kerajaan bagi rumah mampu milik. Mengenal pasti tanah negeri untuk membina rumah mampu milik dan mengalihkan tumpuan pembangunan di atas tanah milik kerajaan kepada rumah mampu milik berbanding pembangunan komersial atau rumah mewah.
Kerajaan perlu memberi fokus untuk membina rumah mampu milik di pusat pertumbuhan utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Menumpukan untuk menambah bekalan rumah mampu milik tanpa memberi impak negatif ke atas pasaran rumah mewah dan pelaburan asing. Rumah mampu milik perlu diberikan pelepasan di bawah GST.