
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan sedang berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan tabung persaraan itu memberi sedikit keanjalan kepada pencarum yang bercadang mengeluarkan caruman mereka untuk membeli kediaman pertama.
Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata keanjalan yang dimaksudkan itu termasuk membenarkan peratusan tertentu dapat dikeluarkan pencarum bertujuan meningkatkan keupayaan mereka membuat bayaran ansuran bulanan.
“Kami melihat kepada peratusan tertentu yang kita boleh tinjau bagaimana KWSP boleh membenarkan pencarum menggunakan sebahagian daripada caruman untuk meningkatkan keupayaan membayar ansuran.
“Mereka ini berkemampuan mendapatkan pinjaman bank tetapi ada jurang yang tidak dapat di servis bersandarkan (kadar) dengan gaji semasa.
“Sehubungan itu, kita harap dengan sumbangan KWSP, mereka dapat keluarkan wang bagi menampung ketidakcukupan itu,” katanya sambil menambah cadangan itu khusus kepada pembeli kediaman pertama dan kediaman itu mestilah dalam kategori mampu milik.
Beliau berkata demikian pada Sesi Perbincangan Meja Bulat anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini, sebentar tadi. Johari berkata, cadangan itu sama seperti model sedia ada yang membenarkan pencarum mengeluarkan wang untuk dilabur dalam unit amanah.
“Sekiranya, pada peringkat tertentu, mereka mahu menjual kediaman itu, hasil jualan itu harus dimasukkan semula ke dalam akaun KWSP mereka,” katanya.