SHARE AND LIKE THIS POST

Kepada bakal pembeli rumah lelong… anda mungkin perlu mengambil perhatian terhadap suatu taktik  yang digunakan oleh sindiket lelong pada masa ini.   Perkara ini mungkin telah berlaku beberapa lama tetapi masih tidak dapat dipastikan setakat mana kesahihannya.

Bidang tugas saya yang melibatkan pengurusan aset NPL telah mengenalpasti ‘kemungkinan’ suatu taktik yang dilakukan oleh sindiket membeli rumah lelong dalam ‘menakutkan’ bakal pembida lain untuk membeli rumah-rumah lelong.  Ini biasanya melibatkan rumah lelong yang kosong atau sudah terbiar lama kosong di mana cat merah disimbah pada rumah tersebut seolah-olah ingin menunjukkan bahawa pemilik atau penghuni rumah sebelumnya berhutang atau dikejar ‘Along’ atau peminjam wang.

Gambar Hiasan. Kredit Gambar: sinarharian.com.my
Gambar Hiasan. Kredit Gambar: sinarharian.com.my

Dengan melakukan sedemikian, sindiket ini berkemungkinan berharap tiada pembida lain yang akan turut serta untuk membeli rumah yang biasanya diletakkan pada harga rezab jauh lebih rendah dari harga pasaran.   Apabila tiada pembida lain, maka mereka akan berjaya mendapatkan rumah tersebut pada harga rezab yang rendah atau mungkin sedikit tinggi dari harga rezab jika masih terdapat pembida lain.

Pada masa dahulu, taktik sindiket adalah menawarkan sejumlah wang kepada pembida/bakal pembida supaya mereka membatalkan niat untuk membeli atau kadangkala melakukan bidaan tinggi untuk mengacau pembida sebenar yang berniat ingin membeli jika mereka tidak mahu menerima tawaran sindiket ini.   Namun apabila terbongkarnya cara tersebut, bank atau pelelong kadangkala membatalkan lelongan hartanah dan ini mungkin membuatkan sindiket ini mencari cara baru dalam menjalankan kerja mereka.

Walau bagaimanapun, apa yang saya kongsikan di sini tidak semestinya benar… tetapi adalah kemungkinan yang berlaku atas pengalaman dan pemerhatian bidang kerja saya pada masa ini.  Ini bermaksud jika terdapat kesan simbahan cat merah pada rumah lelong yang ingin anda beli ada kemungkinan ia sememangnya perbuatan ‘Along’ atau ada juga kemungkinan ianya perbuatan sindiket lelong.  Antara yang anda perlu tahu untuk membuat keputusan adalah:-

  • Adakah rumah tersebut sudah lama ditinggalkan?  Anda boleh lihat pada kesan persekitaan seperti sampah dan rumput panjang.
  • Adakah kesan simbahan simbahan baharu sahaja dilakukan – contohnya hanya beberapa hari/minggu sebelum lelongan sedangkan rumah telah kosong bertahun-tahun.
  • Adakah Harga Rezab lelongan jauh lebih rendah dari nilai pasaran? Jika Ya, kemungkinan besar ianya adalah tindakan sindiket.

Jika berpeluang, bersembang dengan jiran-jiran untuk mengetahui sedikit latar belakang atau maklumat rumah atau penghuni terakhir rumah.    Jika rumah yang telah lama ditinggalkan dan cat merah tersebut baharu sahaja disimbah, maka ada kemungkinan ianya perbuatan sindiket.  Hubungi pelelong untuk bertanyakan sama ada mereka mengetahui mengenai perkara berikut.

Jika cat merah telah disimbah lama sebelum Pengisytiharan Jualan Lelong dikeluarkan lagi.. maka ada kemungkinan penghuni terakhir sememangnya dikejar ‘Along’..  Tiada masalah juga untuk membeli tetapi anda perlu melakukan beberapa perkara selepas membeli iaitu meletakkan notis di depan rumah menyatakan anda adalah pemilik baharu dan sebaiknya tidak terus tinggal selepas membeli dan meletakkan notis tersebut..  tetapi sebaiknya elakkan jika anda tidak mahu berdepan dengan perkara yang merungsingkan.

 

Comment

BERI MAKLUM BALAS