KUALA LUMPUR 11 April – Rumah di bawah skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) boleh dipindah milik atau dijual kepada ahli keluarga terdekat seperti suami, isteri dan anak sahaja.
Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali bagaimanapun berkata, pemilik rumah perlu mendapatkan kebenaran pindah milik daripada pihaknya terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.
“Jika mereka ingin menjual kepada keluarga terdekat dalam tempoh tersebut, ia dibenarkan. Namun syarat-syarat tertentu perlu dipatuhi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pemohon yang berjaya menerima tawaran membeli rumah di bawah skim MyHome dilarang menjual atau menyewakan rumah tersebut kepada pihak ketiga dalam tempoh 10 tahun pertama pembelian.
Menurut Mohamad Yusoff, pihaknya telah meletakkan syarat yang memperuntukkan pembeli dilarang sama sekali untuk menjual ataupun menyewakan rumah skim tersebut kepada pihak ketiga bagi mengelakkan spekulasi negatif daripada pelbagai pihak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, syarat larangan jual beli kepada pihak ketiga itu akan dimasukkan ke dalam surat tawaran kepada pembeli, surat perjanjian jual beli dan dokumen hak milik tanah.
“Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada mereka yang melanggar perjanjian tersebut,” ujarnya.
Sumber – Utusan Malaysia