SHARE AND LIKE THIS POST

Ini merupakan suatu penambahbaikan yang wajar dilakukan oleh kerajaan dalam melindungi dan membantu bumiputera membeli rumah melalui kuota yang telah ditetapkan.

Pada masa ini sesetengah negeri hanya mempunyai tempoh selama 6 bulan untuk penjualan unit kuota bumiputera kepada pembeli dan ia seterusnya dijual kepada bukan bumiputera apabila tamat tempoh.   Namun dalam penambahbaikan yang diumumkan oleh Perdana Menteri di dalam mesyuarat Majlis Perumahan Negara, beliau bersetuju untuk kerajaan memberikan lanjutan tempoh selama 3 bulan lagi sebagai tambahan kepada tempoh sedia ada (berbeza mengikut negeri) supaya pihak berkuasa dapat membuat tindakan ‘pemasaran’ sendiri untuk unit-unit kuota bumiputera tersebut.

Berita lanjut:-

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan tambahan tiga bulan tempoh bagi unit rumah kuota Bumiputera boleh dilepaskan kepada pasaran pembeli lain jika unit berkenaan tidak dapat dijual kepada Bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata mesyuarat Majlis Perumahan Negara bersetuju supaya mekanisme pelepasan unit kuota Bumiputera seperti yang diamalkan di peringkat negeri dilanjutkan tempohnya bagi membolehkan unit kuota Bumiputera benar-benar dapat dijual kepada golongan sasaran.

“Ada negeri yang menetapkan enam bulan supaya kuota Bumiputera boleh dilepaskan kepada pasaran jika tiada pembeli Bumiputera dalam masa itu, maka ini akan ditambah tiga bulan lagi. “Lanjutan tempoh ini supaya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh berusaha mencari pembeli Bumiputera dalam tempoh berkenaan.

“Jika ada negeri yang mempunyai tempoh masa lebih lama daripada itu seperti Kelantan contohnya yang difahamkan selama dua tahun, maka ditambah tiga bulan lagi supaya unit dapat dijual kepada pembeli Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran dokumen kemudahan pinjaman penyambung bernilai RM3 bilion antara Perbadanan PR1MA Malaysia dengan Maybank di sini, petang tadi. Perbadanan PR1MA juga melancarkan Program Bantuan Pembeli Rumah PR1MA.

Perdana Menteri pada majlis itu juga mengumumkan penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara yang bermatlamat mengambil alih peranan penyelenggaraan projek perumahan rakyat daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

Sumber : Berita Harian

Comment

BERI MAKLUM BALAS