SHARE AND LIKE THIS POST

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) 2014 perlu dipercepatkan bagi memberi peluang lebih ramai warga negeri ini untuk membeli rumah mampu milik.

Anggota Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, enakmen yang sudah diluluskan pada Jun 2014 itu, masih perlu juga diperjelaskan, bagi membolehkan rakyat mengetahui apakah faedah dan peluang bagi memiliki hartanah mampu milik. “Memang akan ada lebih banyak rumah mampu milik akan didirikan terutama di kawasan Iskandar Malaysia, contohnya di atas tanah yang dimiliki oleh agensi kerajaan. Namun kita masih berharap pelaksanaan LPHJ 2014 dipercepatkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai bakal pembeli,” kata beliau kepada pemberita ketika merasmikan Rakan Kembara Malaysia Johor di Plaza Angsana, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai bagaimana LPHJ boleh membantu orang ramai dalam memiliki rumah mampu milik terutamanya di Iskandar Malaysia.

Enakmen LPHJ yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Johor itu, bakal melibatkan penyediaan dasar, pelaksanaan, penyelarasan serta perancangan pembangunan sektor perumahan dan hartanah di negeri itu.

Shahrir, yang juga Anggota Majlis Penasihat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), turut menjelaskan pemilikan rumah mampu milik itu turut akan disokong program lain seperti program sewa beli dan bantuan daripada Baitulmal untuk rakyat termiskin, dalam usaha memastikan segenap lapisan masyarakat berpeluang memiliki rumah.

Ketika ditanya mengenai sama ada Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) boleh dimiliki oleh mereka yang belum berkahwin, beliau menjelaskan permohonan dari kumpulan ini masih diterima.

“Bagaimanapun, keutamaan mungkin diberi kepada golongan yang sudah berkahwin. Apabila bekalan rumah semakin banyak, peluang kepada mereka yang belum berkahwin akan lebih terbuka,” kata Shahrir.

Mengenai program Rakan Kembara Malaysia Johor, beliau berkata ia dilihat dapat memberi banyak manfaat kepada golongan belia kerana ia membabitkan pengembaraan dengan pelbagai program pengisian termasuk misi bantuan kemanusiaan.

Beliau, yang juga Rakan Eksekutif Rakan Kembara Malaysia Johor, turut mengalu-alukan penyertaan lebih ramai belia kepada program ini, yang kini mempunyai keanggotaan sebanyak 4,300 seluruh Malaysia termasuk lebih kurang 1,000 anggota di Johor.

Selain dapat menyertai aktiviti berbentuk pengembaraan, anggotanya juga akan memperolehi perlindungan insurans nyawa dan kecacatan kekal serta potongan harga jika berurusan dengan rakan strategik Rakan Kembara Malaysia, kata Shahrir. – BERNAMA

Comment

BERI MAKLUM BALAS