SHARE AND LIKE THIS POST

Selepas suatu tempoh yang panjang tidak dinaikkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.25%.   Kali terakhir kenaikan adalah pada Mei 2011 dan kenaikan ini menurut BNM adalah berikutan pemulihan keadaan ekonomi global yang semakin baik dan aktivitieksport dan swasta yang semakin kukuh.

Berikutan kenaikan OPR ini, bank-bank dijangkakan akan mengumumkan kenaikan kadar pinjaman masing-masing yang mungkin akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.

Bagi mereka yang merancang untuk membeli rumah atau hartanah…. bolehlah membuat kira-kira semula pinjaman anda berdasarkan kadar baru… atau mungkin ada sesetengah bank yang masih menggunakan pakai kadar semasa jika anda memohon pada hari ini.. sila semak dengan bank anda.

Berikut adalah berita lanjut seperti yang dilaporkan oleh Utusan Online:-

Kadar OPR kini naik kepada 3.25%

KUALA LUMPUR 10 Julai – Kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara hari ini.

Bank pusat itu berkata, berikutan itu, kadar terendah dan kadar tertinggi koridor OPR masing-masing dinaikkan kepada 3.00 peratus dan 3.50 peratus.

Menurutnya, ekonomi global telah kembali pulih secara beransur-ansur selepas menjadi sederhana pada suku pertama, dan aktiviti ekonomi di negara-negara maju utama terus berkembang pada kadar yang sederhana.

Ujarnya, pertumbuhan eko­no­mi di Asia disokong oleh sektor luaran yang bertambah baik di samping keadaan permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan dalam persekitaran ini, pasaran kewangan antarabangsa telah secara relatif kekal stabil.

“Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan eksport dan aktiviti sektor swasta terus kukuh. Pada masa hadapan, momentum pertumbuhan secara keseluruhan dijangka berterusan dan eksport akan terus mendapat manfaat daripada pemulihan dalam ekonomi maju dan permintaan serantau.

“Aktiviti pelaburan dijangka kekal teguh, didorong oleh sektor swasta. Penggunaan swasta akan disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan. Oleh itu, prospek ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh pada landasan pertumbuhan yang stabil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, inflasi secara relatif adalah stabil disebabkan kesan daripada pelarasan harga bagi utiliti dan tenaga terus menjadi sederhana.

Comment

BERI MAKLUM BALAS