Langkah diambil kerajaan bagi membendung kenaikan harga hartanah di pasaran tempatan sudah mula menunjukkan hasil yang diharapkan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
“Semua langkah yang diambil mula membuahkan hasil kerana pasaran hartanah didapati semakin stabil dan pembetulan harganya sedang berlaku,” katanya berucap melancarkan Kempen Kesedaran Awam Ejen Hartanah Berdaftar di Kuala Lumpur, semalam.
Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2014 memperkenalkan beberapa langkah untuk meredakan spekulasi pasaran hartanah, antaranya meningkatkan kadar Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) kepada 30 peratus bagi hartanah yang dijual dalam tempoh tiga tahun.
Nilai hartanah untuk pembeli asing pula dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta, manakala bank pula mengurangkan margin pinjaman untuk pemilik rumah lebih daripada satu dan skim tanggungan faedah oleh pemaju (DIBS) pula dimansuhkan.
Ahmad berkata, pasaran hartanah di Malaysia meningkat sejak lima tahun lalu, menjejaki pertumbuhan ekonomi yang berkembang antara empat hingga lima peratus setahun.
Katanya, perangkaan semasa menunjukkan harga hartanah di Lembah Klang meningkat melebihi 100 peratus sejak lima tahun lalu, manakala harga di bandar raya utama lain seperti Georgetown dan Iskandar Malaysia meningkat sekitar 50 peratus.
“Ini jelas menunjukkan permintaan kukuh daripada pelabur dan pengguna. Perkembangan ini membuktikan permintaan datangnya daripada peningkatan pendapatan rakyat, di samping pertambahan jumlah rakyat yang memasuki pasaran tenaga kerja dan mahu membeli rumah pertama,” katanya.
Beliau menambah, dalam ekosistem pasaran hartanah, ejen hartanah serta perunding hartanah akan terus memainkan peranan penting serta menjadi pemaju pertumbuhan urus niaga di negara ini.
Katanya, pada tahun lalu nilai urus niaga hartanah secara keseluruhannya mencecah RM152 bilion membabitkan 381,130 urus niaga.
“Dianggarkan 60 peratus daripada nilai urus niaga yang mencecah RM91 bilion dilaksanakan oleh broker hartanah tidak berdaftar. Inilah yang menjadi kebimbangan kerana broker seperti ini semakin bertambah dalam pasaran dan ia satu perkembangan tidak baik,” katanya.