SHAH ALAM 8 April – Hasrat golongan bumiputera untuk memiliki kediaman sendiri pada harga lebih rendah mungkin hanya tinggal impian apabila kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor memansuhkan pemberian diskaun tujuh peratus melibatkan rumah mampu milik di bawah Skim Rumah Selangorku.
Pemansuhan itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad yang memberi alasan pemansuhan dibuat berikutan harga rumah mampu milik yang ditawarkan kerajaan negeri di bawah skim berkenaan adalah lebih rendah daripada harga pasaran.
Selain harga ditawarkan lebih rendah, jelasnya, harga rumah mampu milik terbabit juga turut diberikan subsidi oleh kerajaan negeri melibatkan empat kategori iaitu jenis A berharga di bawah RM42,000; Jenis B dan C (RM100,000 hingga RM200,000) dan jenis D (RM220,000 hingga RM250,000).
“Kuota 30 peratus pembelian untuk golongan bumiputera masih dikekalkan manakala pemberian insentif potongan harga sebanyak tujuh peratus kepada pembeli telah dimansuhkan.
“Ini kerana harga jualan rumah yang ditawarkan kerajaan negeri lebih rendah dan telah diberikan subsidi daripada harga pembinaan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Terdahulu, Iskandar memberitahu, sebanyak 47 projek pembinaan rumah di bawah Skim Rumah Selangorku telah diluluskan oleh kerajaan negeri setakat ini.
Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 18,732 buah rumah akan dibina meliputi 44 projek selepas rundingan penetapan jumlah unit berjaya dimuktamadkan oleh kerajaan negeri.
Selain itu ujarnya, kerajaan negeri turut menyasarkan pembinaan 35,000 rumah mampu milik melibatkan kerjasama pemaju swasta seperti Sime Darby menjelang 2017.
Selain itu, tambah beliau, kerajaan negeri memberikan insentif khas dalam bentuk pengurangan caj pembangunan kepada pemaju swasta yang terlibat sama dalam projek perumahan mampu milik selain menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau perjalanan projek berkenaan.