Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.0% dalam pengumumannya semalam. Lanjutan dari pengumuman tersebut Kadar Berian Pinjaman Asas (BLR) akan terus kekal dan membolehkan peminjam menikmati bayaran pada kadar yang sama seperti sebelum ini.
Berita lanjut mengenai pengumuman BNM seperti berikut:-
Pernyataan Dasar MonetariPada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Momentum pertumbuhan global terus sederhana. Data ekonomi terkini menyarankan bahawa pemulihan adalah tidak sekata manakala risiko bahawa prospek pertumbuhan global akan menjadi lebih perlahan, masih wujud. Pertumbuhan dalam ekonomi maju yang utama terus dikekang oleh konsolidasi fiskal, pemulihan yang perlahan dalam pengantaraan kewangan dan keadaan pasaran pekerja yang lemah. Di Asia, walaupun pertumbuhan dipengaruhi oleh persekitaran luar yang lemah, permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan. Meskipun keadaan pasaran kewangan antarabangsa bertambah baik, namun pasaran masih mudah terjejas oleh gangguan dan perubahan dalam sentimen.
Dalam ekonomi Malaysia, meskipun sektor luaran telah menerima kesan daripada perkembangan global, permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan. Aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta kekal teguh. Pada masa hadapan, ekonomi dalam negeri dijangka terus mencatat pertumbuhan yang stabil. Penggunaan swasta disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang stabil, sementara aktiviti pelaburan dipacu oleh perbelanjaan modal dalam sektor berorientasikan dalam negeri serta kemajuan dalam pelaksanaan projek infrastruktur.
Inflasi kekal rendah pada 1.5% pada suku pertama. Meskipun inflasi dijangka terus meningkat pada tahun ini, kadarnya dijangka kekal sederhana. Faktor bekalan dan faktor kos dalam negeri dijangka menyumbang kepada harga yang lebih tinggi. Dari segi faktor luaran, masih terdapat risiko gangguan bekalan berkaitan cuaca yang mungkin meningkatkan harga makanan global. Namun, sejajar dengan prospek pertumbuhan global yang sederhana, tekanan daripada harga komoditi global dijangka terkawal.
MPC menyifatkan pendirian dasar monetari semasa adalah wajar berdasarkan jangkaan terhadap inflasi dan pertumbuhan. Selain memantau keadaan dalam negeri, MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan global serta implikasinya terhadap keseluruhan prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Bank Negara Malaysia
09 Mei 2013