Kuala Lumpur: Sejumlah RM6.3 juta daripada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) disalurkan untuk kerja membaik pulih dan menyelenggara perumahan bertingkat kos rendah serta kos sederhana rendah swasta di kawasan Parlimen Setiawangsa.
Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, pihaknya turut memberi sumbangan tambahan menerusi projek Nadi Kasih Yayasan 1Malaysia Development Berhad (IMDB).
Manakala bakinya disumbangkan menerusi kutipan daripada penduduk.
Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut meluangkan masa mengecat dinding blok Apartmen Mahsuri di Taman Setiawangsa di sini.
Pangsapuri siap dibina pada 1987 itu memiliki 320 unit kediaman dan menempatkan lebih 2,500 penduduk.
Terdahulu, Muhyiddin mengadakan perjumpaan tertutup dengan Barisan Nasional (BN) Parlimen Setiawangsa.
Zulhasnan berkata, program TP1M bagi Parlimen Setiawangsa membabitkan kerja mengecat enam blok pangsapuri kos rendah dan empat blok pangsapuri kos sederhana rendah, selain meliputi kerja menyelenggara lif serta membaiki bumbung Menara Rajawali di AU3, di sini. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Mahsuri, Mat Nasir Baba, 56, melahirkan rasa syukur terhadap bantuan kerajaan dalam mengubah wajah pangsapuri yang berusia lebih 20 tahun itu.
Katanya, ini memandangkan penduduk yang rata-rata terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menyelenggara kediaman yang agak usang itu.
“Jika tidak ada bantuan kerajaan menerusi TP1M, kami tidak mampu menyediakan peruntukan besar untuk mengecat apartmen ini,” katanya Bagi penduduk lama pangsapuri itu Norashid Waharudin, 52, program TP1M bukti kerajaan sentiasa mendengar masalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tinggal di bandar besar.
“Kami terharu apabila Timbalan Perdana Menteri sendiri turun padang untuk sama-sama mengecat bangunan pangsapuri kami.
“ Selepas ini, kurang rasa segan sekiranya ada saudara-mara datang berkunjung. Setidak-tidaknya, blok kediaman ini meskipun agak berusia, molek pada pandangan mata,” katanya.
Sumber: Harian Metro