SHARE AND LIKE THIS POST

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) akan membina lebih banyak rumah mampu milik di Kedah, terutama kos rendah, dan meneruskan projek perumahan yang gagal dilaksanakan kerajaan negeri yang diterajui PAS.

Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata BN bukan saja mampu membangun semula projek itu malah akan melaksanakannya dengan lebih baik berbanding kerajaan sedia ada, yang mengambil alih pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

ย Beliau berkata, BN Kedah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga projek perumahan yang dilancar kerajaan negeri pada 2010 tetapi belum menunjukkan sebarang kemajuan iaitu di Yan, Bandar Sejahtera Pokok Sena dan Taman Tunku Sarina, Jitra.

“Biasanya, projek negeri ini dibuat atas tanah kerajaan negeri, jadi sudah semestinya ia tidak akan menimbulkan banyak masalah jika kami (BN) mengambil alih pemerintahan daripada PAS.

“Kita akan siapkan projek itu dan kita akan cari jalan untuk memenuhi lebih banyak permintaan untuk memiliki rumah daripada rakyat Kedah,” katanya kepada pemberita selepas program Prihatin 1Malaysia anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Flet Seri Gemilang, Mergong hari ini.

Ahmad Bashah berkata, tapak projek yang dilancar kerajaan negeri itu kini ditumbuhi lalang kerana tidak dibangunkan, sehingga menyebabkan semakin banyak permohonan rakyat untuk memiliki rumah berkenaan tidak dapat dipenuhi.

Beliau berkata, pemimpin PAS negeri suka menuding jari kepada kerajaan pusat berikutan kegagalan mereka dalam isu perumahan rakyat di Kedah, sedangkan kerajaan pusat banyak membantu mereka melaksanakan pelbagai projek perumahan rakyat walaupun negeri ini ditadbir PAS.
“Projek yang mereka lancarkan adalah di bawah tanggungjawab mereka dan tidak perlu menuding jari kepada kerajaan pusat jika ia gagal.

“Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka kata, dan mereka sudah lancarkan tiga projek perumahan yang kini hanya ditumbuhi lalang,” katanya.

Ahmad Bashah turut mempertikai sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang suka membantah apa sahaja projek pembalakan ketika menjadi pembangkang, namun bertindak lebih rakus ketika mengetuai pentadbiran negeri.

“Ketika menjadi pembangkang, beliau adalah orang yang paling lantang membantah projek pembalakan, antaranya projek pembalakan dalam Tasik Pedu dan projek pembalakan penuaian heli, yang akhirnya tidak diteruskan kerajaan negeri BN sebelum ini kerana menerima nasihat daripada jabatan dan agensi terbabit.

“Namun kini kita lihat Azizan, yang dahulu tentang habis-habisan, kini lebih rakus (tebang balak) bila berkuasa,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Comment

BERI MAKLUM BALAS