SHARE AND LIKE THIS POST

CYBERJAYA — Kumpulan Emkay akan melancarkan pembangunan projek rumah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar RM500 juta dalam tempoh terdekat, kata pengerusinya, Tan Sri Mustapha Kamal.

Beliau berkata, menerusi projek itu sebanyak 3,680 unit rumah akan dibangunkan untuk memberi peluang kepada semua lapisan rakyat tinggal di Cyberjaya.

“Dalam dua tiga minggu lagi kita akan lancar dan rumah jenis pangsapuri itu akan dijual dengan harga bermula RM120,000, lengkap dengan pelbagai kemudahan asas seperti pusat dialisis, masjid serta tanah perkuburan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan taklimat mengenai perkembangan pembangunan Cyberjaya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mustapha berkata, melalui projek tersebut konsep rakyat didahulukan dapat dipraktikan sekali gus memastikan sasaran peningkatan penduduk kepada 100,000 orang menjelang 2016 mampu dicapai.

“Projek berkenaan diunjurkan akan dimulakan secara fizikal pada pertengahan tahun ini,” katanya. — BERNAMA

Comment

BERI MAKLUM BALAS