SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR 14 Mac – Tabung Penyenggaraan 1Malaysia (TP1M) bakal diperluaskan ke seluruh negara pada April ini selepas cadangan mengenainya dibentangkan ke mesyuarat Kabinet selewat-lewatnya hujung minggu ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, sejak TP1M diperkenalkan bermula Januari 2010, banyak manfaat diperoleh penghuni terutama di sembilan kawasan perumahan kos rendah swasta dan kos sederhana rendah swasta di ibu kota.

Menurutnya, selain mengecat bangunan, kerja-kerja penyenggaraan di bawah TP1M termasuklah membaik pulih sistem paip air dan membaiki bumbung.

“Selain menjadikan suasana lebih ceria, ia turut memberi kehidupan yang lebih baik kepada penghuni.

“Ini sekali gus menarik minat negeri lain seperti Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka yang mempunyai perumahan bertingkat melaksanakan program sama di negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyampaikan sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan kepada wakil tujuh Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) untuk menampung sebahagian kos menyenggara kediaman.

Sumbangan itu bagi menampung baki 10 peratus kos yang sepatutnya ditanggung oleh JMB atau MC untuk menyenggara kediaman masing-masing. Sebanyak 80 peratus lagi kos berkenaan ditampung oleh kerajaan menerusi TP1M.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Avenue Court, Taman Seri Sentosa itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) kementerian, Datuk Mohd. Jamal Mahusin, Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Idris Mohd. Isa dan Pengerusi JMB Avenue Court, R. Krishnakumar.

Perumahan yang menerima sumbangan itu ialah Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Rumah Pangsa Danau Kota di Wangsa Maju, Pangsapuri Bukit Cheras, Rumah Pangsa Batu Permai, Taman Segambut SPPK, Taman Wilayah Selayang Fasa 3 dan Fasa 4.

Raja Nong Chik menambah, sehingga kini sebanyak 63 permohonan telah diluluskan oleh TP1M dengan nilai keseluruhan sebanyak RM46.3 juta.

“Sebanyak 44 permohonan adalah bagi rumah kos rendah swasta dengan anggaran kos berjumlah RM26 juta, manakala 24 permohonan bagi rumah kos sederhana rendah swasta dengan anggaran kos berjumlah RM20.3 juta,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia
Comment

BERI MAKLUM BALAS