SHARE AND LIKE THIS POST

Ini adalah sambungan kepada artikel Bahagian 1 yang boleh anda baca di sini.

Setelah membincangkan kepentingan penilaian hartanah di dalam Bahagian 1 yang lepas, di dalam artikel ini saya akan membincangkan tentang Laporan Penilaian itu sendiri dan kandungannya.

Laporan Penilaian adalah penting dalam proses kelulusan sesuatu pinjaman.  Walau bagaimanapun, bagi sesetengah bank mereka mungkin tidak mewajibkan semua permohonan disertakan dengan laporan penilaian tetapi sekadar semakan dengan penilai yang dilakukan bank berkenaan dan ini biasanya melibatkan hartanah bernilai rendah sahaja.  Oleh itu, sekiranya anda mendapatkan pinjaman dari bank sila pastikan sama ada anda akan dikenakan caj untuk penilaian dan jika ya, sila dapatkan salinan laporan penilaian tersebut.

Secara ringkasnya, kandungan Laporan Penilaian biasanya adalah seperti berikut:-

  • Pengenalan – biasanya mengandungi rujukan dan maklumat pihak yang memberikan arahan untuk penyediaan seperti bank atau klien (bakal peminjam).
  • Tarikh lawatperiksa hartanah dan tarikh penilaian – kebiasaannya adalah tarikh yang sama.
  • Maklumat Hakmilik – sama ada hakmilik individu telah dikeluarkan atau belum dan jika sudah maklumat seperti No. Hakmilik, No. Lot, Syarat Nyata, Pemilik berdaftar dll.
  • Penerangan Lokasi Maklumat Hartanah – lokasi hartanah berkenaan dinyatakan dengan terperinci dari kawasan lokaliti sehingga nama jalan hadapan hartanah serta alamat pos hartanah berkenaan.
  • Perkhidmatan Yang Wujud Di Kawasan Hartanah Berkenaan – sama ada hartanah disambungkan dengan bekalan api, air dan wujudnya perkhidmatan pengangkutan seperti bas dan sebagainya.
  • Maklumat Perancangan dan Gunatanah
  • Asas dan Kaedah Penilaian Yang Digunakan
  • Maklumat Hartanah Perbandingan – menunjukkan hartanah sebandingan lain yang digunakan sebagai perbandingan dengan hartanah berkenaan yang dinilaikan.  Kebiasaannya adalah hartanah serupa melainkan tidak wujud transaksi hartanah serupa maka hartanah yang sebanding akan digunakan tetapi pelarasan akan dilakukan.
  • Penentuan Nilai Pasaran – Mukasurat penting di mana penilai memberikan pendapat tentang nilaian berdasarkan maklumat semasa lawatperiksa dan juga perbandingan dengan hartanah serupa/sebanding.
  • Lampiran (Pelan Lokasi, Pelan Lantai, Gambar hartanah, dll)

Walaupun ini merupakan maklumat yang perlu dan sangat berguna untuk mereka yang berkenaan namun kebiasaannya sesetengah bank hanya terus merujuk kepada kandungan terakhir iaitu “Nilai Pasaran” tanpa melihat dengan lebih lanjut maklumat hartanah berkenaan yang kadangkala boleh mengandungi kesilapan berbanding maklumat yang dimiliki oleh bank.  Contohnya adalah maklumat hakmilik hartanah dan juga penerangan tentang hartanah itu sendiri.

Bagi anda yang mendapatkan khidmat penilaian untuk penyediaan Laporan Penilaian ini, anda juga seharusnya menyemak maklumat-maklumat tersebut semasa mendapatkannya dari pihak penilai atau sebelum menyerahkannya kepada bank.

Dari segi fee penilaian, anda boleh merujuk kepada skala penuh fi di laman web Penilai, Pentaksir & Ejen Hartanah yang mana tertakluk kepada fi minimum RM400.  Sebaiknya dapatkan quotation dari penilai atau bank untuk penilaian ini dan jangan takut untuk cuba meminta diskaun jika nilai hartanah anda adalah tinggi.

Jika anda memerlukan maklumat lanjut mengenai penyediaan laporan penilaian ini atau ingin mendapatkan khidmat Tips Hartanah untuk melantik penilai bagi pihak anda, sila hubungi Tips Hartanah.

 

Comment

BERI MAKLUM BALAS