Seperti yang dijanjikan sebelum ini, di dalam posting ini akan saya terangkan serba sedikit mengenai penilaian hartanah dan kepentingannya kepada anda sebagai pembeli.
Sebelum saya terangkan lebih lanjut, apa kata kita lihat dahulu 2 senario di bawah:-
Senario 1:
Anda melihat sebuah rumah yang anda idamkan selama ini dan bersetuju dengan penjual untuk membeli rumah tersebut pada harga RM500,000 memandangkan ubahsuai major telah dilakukan menelan kos sebanyak RM200,000 (menurut penjual dan pemerhatian anda). Anda terus menandatangani dokumen Perjanjian Jual Beli (SPA) pada harga RM500,000…. dan apabila membuat permohonan pinjaman, anda dimaklumkan oleh bank bahawa nilai rumah tersebut adalah hanya RM400,000. Deposit telah dibayar, peguam telah dilantik dan SPA telah ditandatangani…. tetapi maksimum pinjaman anda hanyalah RM360,000 (90% daripada RM400K)!Senario 2:
Anda ingin membeli hartanah lelong… pada harga rezab RM100,000. Pada hari lelongan tiba-tiba anda dapati terdapat 5 lagi pembida lain yang turut sama mendaftar untuk membeli hartanah berkenaan. Pada masa lelongan, didorong keinginan untuk mendapatkan hartanah tersebut, anda berlawan bidaan dengan pembida lain sehingga akhirnya anda berjaya mendapatkan hartanah berkenaan pada harga RM145,000. 10% deposit telahpun dibayar kepada pelelong dan anda membuat permohonan pinjaman di bank…. dan dimaklumkan bahawa pinjaman maksimum hanyalah RM108,000 kerana nilai hartanah tersebut hanyalah RM120,000 (90% drpd RM120,000). Apakah yang perlu anda lakukan?
Bayangkan jika salah satu keadaan di atas berlaku kepada anda. Kemungkinan besar anda akan kehilangan deposit yang telah dibayar selain kos-kos lain walaupun dalam sesetengah keadaan anda mungkin dapat memperolehi semula sebahagian wang anda dalam senario 1.
Jadi apakah yang harus anda tahu tentang penilaian hartanah?
1. Perkara paling penting adalah Penilaian Hartanah diperlukan apabila anda ingin mendapatkan pinjaman.
2. Pinjaman akan diberikan berdasarkan harga SPA/belian atau Nilai pasaran yang ditaksirkan oleh penilai, mana yang lebih rendah. Cthnya, jika SPA=RM500,000, Penilaian=RM400,000, maka bank akan mengambil nilai RM400,000. Jika SPA=RM300K dan penilaian lebih tinggi, cthnya RM350,000 maka bank akan mengambil RM300K untuk pemberian pinjaman.
3. Sesetengah bank mempunyai panel penilai tersendiri. Oleh itu, pastikan jika anda ingin membuat laporan penilaian sendiri ianya adalah panel bank yang ingin anda dapatkan pinjaman. Semak dengan bank berkenaan.
4. Fi penilaian adalah berdasarkan nilai hartanah… maksudnya, lebih tinggi nilai hartanah anda maka lebih tinggi fi penilaian anda. Sila semak dengan penilai anggaran fi tersebut berdasarkan nilaian hartanah anda dan runding fi sebelum mendapatkan khidmat mereka. Sebagaimana peguam yg tertakluk kepada Majlis Peguam, fi penilai juga tertakluk kepada kawalan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah.. walau bagaimanapun tidak salah untuk cuba berunding tentang fi tersebut jika hartanah anda adalah tinggi seperti melebihi RM1juta..
5. Dan yang terakhir.. tetapi amatlah penting.. semak nilai hartanah SEBELUM membeli hartanah bukanlah setelah anda membayar deposit atau telah menandatangani SPA.
Semoga sedikit tips tentang penilaian hartanah ini dapat memberikan panduan kepada mereka yang masih kabur tentang kepentingan penilaian hartanah. Nantikan Bahagian 2 tentang kandungan Laporan Penilaian yang akan saya kongsikan di dalam posting akan datang nanti.
Sekiranya anda ingin mendapatkan bantuan Tips Hartanah untuk mendapatkan Laporan Penilaian untuk bank-bank tertentu, sila hubungi Tips Hartanah melalui borang online dan nyatakan bank yang ingin anda mohon pembiayaan.
setuju dengan ini, memang ramai antara kita suka bayar dulu baru check ngan bank nilai housing umah… last2 burn.. sebab bank approved loan cuma amount dia kurang… dan bank biasa ada company penilaian sendiri.. so elok jumpa bank tersebut minta dia bagi value umah yang nak dibeli tu.. lain bank lain value dia..
artikel yg bagus. Inilah yang menjadi masalah utama apabila membeli rumah sub-sale. Kebanyakan harga rumah di Sabah dijual dengan harga yang tinggi dari market value. Jika kita bayar khidmat mereka, berapakah anggaran kos min & max yang biasanya valuer kenakan?
Terima kasih.
homestaykk,
min fee skrg lbh kurang RM600 dan bergantung kpd disbursement lain. max adalah mengikut value hartanah.. sebenarnya fee penilaian ada scale tersendiri dan boleh lihat di http://www.lppeh.gov.my/fees.html
terima kasih atas jwpan tersebut. kalau setakat kita nak tanya brp je value rumah itu sebelum kita membuat apa2 bayaran deposit & pergi dgn bank, berapalah pula kos nya.
salam.mohon penjelasan untuk lien holders caveat dan perbezaan dengan trusts caveat.