SHARE AND LIKE THIS POST

Ini adalah sambungan kepada posting terdahulu saya (Bahagian 1) yang boleh dibaca Di Sini.

Dalam posting ini saya akan menerangkan lebih lanjut mengenai kos perbelanjaan serta andaian dalam pengiraan Kadar Keuntungan Sewa (Rental Yield) atau pulangan ke atas pelaburan anda berdasarkan sewaan dan nilai pasaran semasa hartanah.

Di dalam Bahagian 1, saya telah menggunakan contoh mudah di mana saya andaikan 30% daripada jumlah sewaan yang diterima sebagai kos yang perlu ditanggung oleh anda (sebagai pelabur) dalam menentukan kadar pulangan bersih tersebut.  Lihat contoh tersebut sekali lagi:-

Nilai Hartanah Semasa : RM350,000
Pendapatan/Sewa Semasa : RM1,800 sebulan (RM21,600 setahun)
Kos/Perbelanjaan yang perlu ditanggung: RM6,480 (andaian 30% daripada pendapatan sewa)
Pendapatan/Sewa Bersih: RM21,600-RM6,480 = RM15,120

Maka, Kadar Pulangan adalah RM15,120 ÷ RM350,000 x 100% = 4.3% setahun

Andaian 30% adalah sebagai contoh yang mana ia biasanya di dalam anggaran 20%-40% bergantung kepada jenis hartanah dan perjanjian sewa yang anda ada bersama penyewa anda.

Jadi apakah kos-kos tersebut yang dianggap sebagai perbelanjaan anda yang perlu anda pertimbangkan dalam menentukan kadar di atas?

Antara perbelanjaan biasa yang perlu ditanggung adalah:-
1) Cukai Pintu (Assessment)
2) Cukai Tanah (Quit Rent)
3) Yuran Pengurusan & Penyelenggaraan
4) Insurans Kebakaran
5) Kos Pembaikan (Kontigensi)

Bagi tahun pertama pembelian pula, anda mungkin boleh menambah beberapa perkara lagi seperti kos pembelian (guaman, ejen, pindahmilik, dsb).

Sebagai contoh untuk menggunakan kos-kos di atas, saya menggunakan contoh yang sama di atas dan mengandaikan hartanah tersebut adalah:-
Sebuah kondominium
Yuran pengurusan & penyelenggaraan bulanan adalah RM250 (RM3,000 setahun)
Cukai Pintu – andaian RM100 setahun
Insurans Kebakaran – RM200 setahun
Kos pembaikan – andaian 5% dari penyewaan setahun – RM1,080 (21,600 x 5%)
Jumlah perbelanjaan : RM3,000 + 100 + 200 + 1,080 = RM4,380

Oleh itu, kadar pulangan sebenar anda berdasarkan perbelanjaan di atas adalah:-
RM(21,600-4,380)   X 100% = 4.9% setahun
     RM350,000

Semoga penjelasan saya di atas dapat difahami anda dan bolehlah anda gunakan untuk pengiraan sendiri dengan mengubah contoh di atas serta andaian yang digunakan mengikut keadaan anda.

Selamat Mencuba!

 

Comment

1 komen

BERI MAKLUM BALAS