Setelah ditangguhkan sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) akhirnya menaikkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas atau 3% dalam mesyuarat terbaru dalam usaha untuk mengawal inflasi. Seperti yang dijangkakan sebelum ini, kemungkinan akan terdapat lagi peningkatan OPR menjelang akhir tahun ini dalam mengawal kenaikan ringgit dan pertumbuhan ekonomi.
Bagi mereka yang merancang untuk membeli hartanah, kenaikan ini sudah pastinya akan menyebabkan bajet pembayaran bulanan anda meningkat dan mungkin menyebabkan anda perlu membuat sedikit pengiraan semula berdasarkan bajet anda. Walau apapun, jika anda merancang untuk membeli rumah untuk kediaman sendiri, saya fikir anda tidaklah perlu untuk menangguhkannya jika anda sudah menemui rumah idaman anda. Apa yang perlu dilakukan adalah lakukan semakan dengan beberapa bank untuk mendapatkan pakej pinjaman terbaik yang sesuai dengan keperluan dan bajet anda. Sebagai contoh, anda mungkin mahukan pakej pinjaman yang memberikan bayaran beberapa tahun pertama (seperti 3-5 tahun) terendah supaya anda boleh mengawal bajet anda semasa tempoh awal anda membuat pembelian rumah anda yang mana pastinya akan memberikan impak kepada perbelanjaan dan ekonomi anda.
Walau apapun, lakukan semakan sebelum membuat sebarang pembelian supaya anda tidak membayar lebih untuk hartanah anda dan mendapat pakej pembiayaan yang paling sesuai untuk anda…
Untuk berita penuh, sila baca di bawah.
KUALA LUMPUR 6 MEI : Bank Negara menaikkan 25 mata asas dalam kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3 peratus dengan harapan tindakan itu mampu memastikan kadar inflasi terkawal serta memperlahankan kenaikan ringgit.
Agensi Berita Antarabangsa, Reuters meramalkan, tindakan itu juga dikatakan bakal menyaksikan kenaikkan kadar yang lain.
Bank Negara yang bermesyuarat enam kali setahun bagi menentukan kadar itu berkata penanda aras OPR dinaikkan 3 peratus daripada 2.75 peratus, naik 25 mata asas manakala paras keperluan rizab berkanun (SRR) akan dinaikkan kepada 3 peratus daripada 2 peratus, naik 100 mata asas berkuat kuasa 16 Mei.
Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Anthony Dass berkata bankpusat mengambil langkah menaikkan OPR memandangkan ia tidak mahu ketinggalan setelah kadar faedah bank pusat serantau meningkat.
“Yang mengejutkan ialah kenaikan dalam OPR. Kami melihat tindakan itu sebagai langkah BNM untuk tidak mahu ketinggalan di belakang.
“Kebanyakan negara telah menaikkan kadar faedah dan Malaysia masih di belakang. Jika kita kekal di paras lama dan hanya menaikkan kemudiannya apabila inflasi berterusan meningkat, ia akan menghasilkan kadar dinaikkan pada kadar yang lebih tinggi,” kata beliau.
Bank pusat telah menaikkan OPR tiga kali tahun ini daripada dua peratus dan secara beransur-ansur mengurangkan SRR sejak Disember 2008 daripada empat peratus kepada satu peratus pada Mac 2009.
Data terkini oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan indeks harga pengguna (IHP) bagi Mac meningkat sebanyak tiga peratus kepada 102.4 berbanding setahun dulu.
Sementara itu, ketua penyelidikan runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan berkata kenaikan dalam SRR adalah dalam jangkaan pasaran.
“Kenaikan dalam OPR mencerminkan bahawa BNM memberi lebih wajaran kepada inflasi berbanding pertumbuhan ekonomi dan mereka mahu mengimbangi kenaikan ringgit pada kadar perlahan,” katanya.
Mengenai institusi kewangan, Nazri berkata bank-bank akan membuat penyelarasan seiring dengan kenakan kadar, bagaimanapun disebabkan oleh persaingan pasaran, pelarasan akan perlahan.
“Bank- bank akan mengikutinya tetapi kemungkinan mereka tidak akan menyaurkan jumlah sepenuhnya kepada pelanggan mereka sekali gus,” katanya.

