SHARE AND LIKE THIS POST

Saya nak buat ulasan dan pendapat sendiri terhadap berita/artikel yang disiarkan beberapa hari yang lepas selepas mendapat beberapa pertanyaan dari mereka yang ingin mengetahui pendapat saya mengenainya.

Buat pertama kali juga transaksi hartanah mencecah RM100 Billion yang merupakan rekod untuk pasaran hartanah Malaysia.  Adakah ini merupakan petanda baik atau sebenarnya berlaku perkara yang tidak diingini oleh majoriti rakyat yang puratanya berpendapatan di bawah RM5,000 dan sebahagian mereka masih tidak memiliki rumah akibat harga yang mahal?

Adakah kita perlu menarik pembeli asing untuk membeli hartanah di negara ini yang seterusnya melonjakkan harga hartanah akibat kegiatan spekulasi yang mana juga dilakukan oleh ramai pembeli tempatan juga pada masa ini.

Ingin saya tekankan bahawa ini bukanlah pendapat rasmi berdasarkan sebarang kajian atau analisis tetapi hanya pendapat peribadai berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri dan tidak seharusnya menjadi panduan semata-mata oleh sesiapa.  Untuk ulasan saya mengenai apa yang dinyatakan, sila baca di bawah.

Harga Hartanah Akan Meningkat 10 Hingga 20 Peratus Pada 2011

Harga hartanah dijangka meningkat pada purata 10 hingga 20 peratus tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Beliau berkata peningkatan itu akan dipacu oleh permintaan daripada belian asing dan juga unjuran ekonomi negara yang lebih cergas dalam menarik lebih banyak pelaburan.

[TH]  Pendapat saya ini adalah unjuran rasional (10%) terutamanya untuk hartanah kediaman biasa (bukan high end).  Tetapi berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Datuk Timbalan Menteri, peningkatan akibat permintaan yang dipacu oleh belian asing merupakan suatu perkara yang perlu dipantau secara serius oleh kerajaan kerana faktor ini akan menyebabkan peningkatan harga yang sangat signifikan dan bukan hanya peningkatan 10%-20% malah boleh menjadi lebih dari itu seperti yang berlaku pada tahun 2010.  Saya yakin rakyat (terutamanya golongan pertengahan) tidak mahu hanya menjadi pemerhati kepada harga hartanah (kediaman) yang semakin meningkat tanpa kawalan dan jawapan bahawa ianya berdasarkan pemintaan pasaran semata-mata tidak boleh diterima di mana ianya sebenarnya dipacu oleh permintaan pembeli spekulasi yang melonjakkan harga kepada paras rekod tertinggi setakat ini.

“Saya menjangkakan hartanah sederhana dan mewah mungkin meningkat lebih tinggi memandangkan hartanah mewah masih dianggap murah oleh rakyat asing berbanding harga hartanah di negara-negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Pasaran Hartanah 2010 di sini.

[TH]  Itu sudah tentu…  dan dengan senario yang berlaku ini, majoriti rakyat akan terus melihat lebih banyak pemaju-pemaju tamak terus membina projek-projek baru untuk golongan ini dengan harga melebihi RM500K untuk rumah teres, RM1juta untuk Semi-D dan berjuta-juta untuk banglo.

Laporan itu diteritkan oleh Jabatan Perkhidmatan Hartanah dan Penilaian Kementrian Kewangan.

Lim berkata negara ini menarik lebih ramai rakyat asing menerusi program transformasi kerajaan serta unjuran bahawa lebih banyak syarikat asing akan disenarai di Bursa Malaysia.

“Kami berjaya menarik nilai pelaburan yang adil tahun lepas dengan pelaburan langsung asing meningkat empat kali ganda berbanding angka yang dicatatkan pada 2009.

“Kami berharap rakyat asing ini akan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan kedua atau ibu pejabat dan melihat Asean sebagai pasaran yang berpotensi,” katanya.

[TH]  Teruslah tarik lebih ramai rakyat asing!.. Memang tidak dinafikan pelaburan asing adalah penting tetapi jangan sampai hak rakyat yang utama diletak tepi.   Harap kerajaan dapat menghadkan pembelian rumah untuk warga asing kepada RM1juta ke atas sahaja (atau memerlukan kelulusan jika kurang – untuk kawasan tertentu).  Dalam masa yang sama, perlunya ada kawalan yang lebih ketat terhadap projek perumahan – komposisi rumah dan harga kerana pada masa sekarang seolah-olah pemaju sesuka hati meletakkan harga yang akhirnya pihak pembiaya juga dengan rela hati memberikan pinjaman berdasarkan harga tersebut disebabkan tiada kawalan (penilaian harga) yang betul-betul ketat dan telus untuk hartanah baru – biasanya bank akan mengambil harga jualan hartanah baru sebagai nilai pasaran walaupun kadangkala harga tak masuk akal.

Beliau berkata walaupun harga hartanah akan meningkat, kerajaan akan memastikan gelombang hartanah tidak berlaku.

“Kami memandangkan berat disebabkan hampir 26 peratus daripada pinjaman bank diberikan untuk tujuan perumahan iaitu sebanyak RM240 bilion.

“Usaha sedang dilakukan untuk menyediakan 70 peratus nilai pinjaman untuk pembeli hartanah ketiga serta inisiatif untuk menyediakan pinjaman 100 peratus untuk pembeli rumah kali pertama,” katanya.

Beliau berkata tumpuan utama kerajaan ialah memastikan golongan muda Malaysia disediakan dengan peluang untuk memberli hartanah mengikut kemampuan mereka.

[TH]  Tahniah atas usaha yang dijalankan… tetapi tak nampak betul2 serius untuk mengawal spekulasi.  Seharusnya pembelian ketiga hanya pada margin 50%.  Lihat negara lain seperti Singapura dan China… Skim Rumah Pertamaku (SRP) juga memang dipuji… cuma buat masa ni perlaksanaan amat lemah.. ramai pembeli yang tanya pihak bank pun masih ‘blur’ dan masih memerlukan sedikit imrpovement pada syarat yang ditetapkan.

Menurut laporan itu, pasaran hartanah tempatan merekodkan 376,583 transaksi bernilai RM107.44 bilion, dengan jumlah dan nilai pertumbuhan transaksi masing-masing pada 11.4 peratus dan 32.6 peratus berbanding 2009.

– BERNAMA

Comment

BERI MAKLUM BALAS