Akhirnya…. terlaksana juga seperti apa yang dicadangkan dan diwarwarkan sebelum ini… Dalam menangani isu spekulasi dan pembelian rumah yang tidak terkawal sehingga menghadkan peluang pembeli rumah pertama, Bank Negara telah menguatkuasakan dengan serta merta pembiayaan untuk rumah ketiga adalah sehingga maksima 70% sahaja.
Berita ni sebenarnya telah diumumkan minggu lepas lagi tetapi memandangkan saya sangat sibuk dengan urusan lain baru sekarang dapat saya update di blog ini selepas pertanyaan dari beberapa pembaca TipsHartanah mengenai impaknya terutama kepada mereka yang ingin melabur di dalam bidang hartanah ini. ย Apa kata anda baca dahulu berita di bawah sebelum saya menyambung komen mengenai berita ini…
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) — Bank Negara Malaysia Rabu mengumumkan pelaksanaan nisbah pinjaman kepada nilai (LTV) maksimum sebanyak 70 peratus, berkuat kuasa serta merta yang akan terpakai bagi kemudahan pembiayaan rumah ketiga oleh peminjam.
Menurut bank pusat, kemudahan pembiayaan bagi pembelian rumah pertama dan kedua tidak terjejas dan peminjam akan terus memperoleh pembiayaan bagi pembelian ini pada paras LTV sekarang ini yang dikenakan bank individu berdasarkan kepada dasar kredit dalaman mereka.
“Langkah ini bertujuan untuk menyokong pasaran hartanah yang stabil dan mampan serta menggalakkan rumah mampu milik untuk orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut bank pusat itu, dengan harga hartanah kediaman meningkat dengan kukuh seiring dengan perkembangan ekonomi dan peningkatan paras pendapatan, trend pertumbuhan agregat kekal boleh diurus.
Bagaimanapun, lokasi khusus terutamanya dalam dan sekitar pusat bandar mengalami pertumbuhan pantas dalam jumlah urusniaga dan dalam harga rumah.
Bank Negara berkata ini terus disokong oleh kenaikan dalam pembiayaan yang disediakan untuk pelbagai pembelian unit oleh peminjam tunggal, yang menunjukkan kenaikan aktiviti pelaburan yang merupakan spekulatif, kata Bank Negara.
Ia berkata pelaksanaan nisbah LTV yang disasarkan itu dijangka menyederhanakan pelaburan yang banyak dan aktiviti spekulatif dalam pasaran hartanah kediaman yang menyebabkan kenaikan harga yang lebih tinggi daripada purata di lokasi sedemikian.
“Ini juga telah membawa kepada kenaikan dalam harga rumah di sekitar lokasi, dengan itu menyumbang kepada penurunan keseluruhan rumah mampu milik bagi pembeli rumah sebenar.
“Oleh itu langkah ini kekal menyokong objektif menggalakkan pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia yang terus menjadi agenda penting negara,” kata bank pusat.
Dalam perkembangan lain, Bank Negara mengumumkan pengenalan program kemampuan kewangan, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan paras literasi kewangan, menggalakkan kewangan yang baik dan pengurusan hutang oleh rakyat Malaysia.
Program itu akan ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit melalui cawangannya di seluruh negara dan akan bermula Januari 2011.
“Program ini bertujuan melengkapkan individu dengan pengetahuan untuk keputusan kewangan yang bertanggungjawab dengan mendapat pemahaman praktikal dan kemahiran dalam pengurusan wang dan hutang,” katanya.
Bank Negara berkata program menyumbang ke arah mengekalkan kedudukan kewangan isirumah yang baik dan memastikan pengumpulan hutang sepadan dengan kemampuan isirumah, termasuk kemampuan mereka menyerap pelarasan kadar faedah dan potensi turun naik paras perbelanjaan dan pendapatan.
“Individu, terutamanya peminjam prospektif yang baru dan dewasa muda, digalakkan mengambil bahagian dalam program yang direka bentuk khas.
“Maklumat pelaksanaan program ini akan diumum pada Disember,” katanya.
— BERNAMA
OK…. secara jelasnya objektif utama adalah untuk mengawal aktiviti pelaburan dan spekulatif yang semakin berleluasa terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar. ย Sememangnya ini tidak akan dapat menghentikan terus tetapi saya fikir sekurang-kurangnya bagi kawasan pinggir bandar ianya akan lebih terkawal kerana golongan pelabur rumah kos sederhana akan lebih berkurangan kerana terpaksa mengeluarkan sekurang-kurangnya 30% daripada harga pembelian. ย Dengan permintaan yang berkurangan harga tawaran mungkin akan lebih terkawal dan tidak melonjak naik pada tahap yang kadangkala tak masuk akal.
Dari perspektif pelabur pula, ianya akan menjadikan anda… lebih berwaspada dan berkira-kira dengan kos dan risiko yang semakin besar dalam membuat pelaburan. Mungkin tidak boleh ‘bedal’ sesuka hati lagi untuk membeli tetapi setidak-tidaknya pembelian tersebut akan menjadi lebih baik kerana anda menjadi lebih ‘detail’ dalam pelaburan anda kerana 30% dari harga pembelian (tidak termasuk kos-kos tambahan lain) bukanlah suatu jumlah yang sedikit untuk dikeluarkan begitu sahaja.
Saya sendiri sebagai seorang pelabur, tentunya akan terus membeli hartanah tetapi akan memilih hartanah yang benar-benar berpotensi untuk ‘capital growth’ – peningkatan nilai untuk jangka masa panjang dan mungkin akan lebih berhati-hati dengan pelaburan berdasarkan ‘yield’ dengan peningkatan risiko ini.
Oleh itu dengan pengumuman ini saya fikir ianya masih ‘balance’ bagi kedua-dua pihak iaitu pembeli rumah pertama yang mencari rumah mampu milik dan juga sebagai pelabur kerana setidak-tidaknya Bank Negara tidak menghadkan pembiayaan maksima hanya sehingga 50% untuk rumah ketiga seperti sesetengah negara lain. ย Jika itu berlaku pastinya ia akan merencatkan majoriti aktiviti pelaburan hartanah termasuklah diri saya…
Selamat membeli dan melabur di dalam hartanah….