Best juga dengar berita ni.. Tasik Kenyir – tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara akan menjadi kawasan bebas cukai terbaru di Malaysia dan bakal menarik lebih ramai pelancong dengan keputusan tersebut menjelang tahun 2012.
Kalau selama ni saya balik kampung di Kuala Berang tu macam dah takde sebab sangat nak pegi Tasik Kenyir, mungkin lepas ni best la sikit sebab sambil-sambil tengok tasik yang memang indah tu boleh gak shopping-shopping atau buat benda lain yang menarik.
Dijangkakan lebih ramai lagi yang akan melawat tasik ni selepas Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 sehingga Ajil (dah dekat sgt dengan Kuala Berang) siap tahun depan dan memendekkan lagi perjalanan ke sana. Pada masa ni kalau memandu dari KL-Kuala Berang lebih kurang 5 jam… dan tambahan lebih kurang 40 minit naik ke kawasan tasik kenyir tu.
Kepada sesiapa yang belum pernah sampai sana bolehlah merancang untuk bercuti di Tasik Kenyir… memang bestt.. terutamanya yang kaki pancing.. sewalah bot 2-3 hari dan tidur dalam bot je. Dengan kawasan seluas lebih 38,000 hektar dan meliputi lebih 340 pulau anda pastinya teruja apabila berada di sana.
Tasik Kenyir ini mendapat nama daripada sebatang sungai yang dahulunya mengalir di situ. Kini sungai tersebut juga telah ditenggelami tasik yang luas ini yang dipenuhi dengan air dari sumber hujan dan juga punca-punca air sekitarnya. Kawasan ini juga merupakan antara salah satu hutan hujan tropika tertua di dunia dan menjadi antara pusat penempatan zaman neolitik berdasarkan perjumpaan artifak di kawasan berkenaan.
Bagi saya, dengan melawati Tasik Kenyir ini, pelbagai suasana dan pengalaman baru yang boleh diperolehi termasuklah sanctuary ikan kelah yang amat unik. Dan dengan adanya penambahan tarikan baru pastinya Tasik Kenyir bakal menjadi salah satu tempat yang menarik untuk dikunjungi.
Untuk berita lanjut mengenai Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai baru sila baca di bawah..
KUALA TERENGGANU 29 Sept. – Terengganu akan maju setapak lagi apabila tasik buatan manusia, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu akan menjadi kawasan bebas cukai mulai tahun 2012.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, Tasik Kenyir akan menjadi tarikan kepada lebih ramai lagi pelancong dengan pengwujudan kawasan bebas cukai itu.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini, beliau berkata, Tasik Kenyir yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan sebagai kawasan bebas cukai minggu lepas, akan diwartakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk menyediakan kompleks bebas cukai, kompleks kastam dan sebagainya.
Selain itu, 300 unit chalet dan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang akan dibina bagi memudahkan pelancong menginap di Tasik Kenyir. – Bernama