KUALA LUMPUR 13 Sept. – Pemerolehan tanah seluas 103.64 hektar di Johor oleh SP Setia dan prospek pembangunannya dijangka terus memperkukuhkan asas hartanah pemaju berkenaan bagi memanfaatkan perkembangan dalam hartanah pertengahan hingga ke mewah, demikian menurut OSK Research.
Syarikat pemaju itu membeli tanah pembangunan pegangan bebas, bersebelahan perbandarannya, Setia Indah di Iskandar Malaysia, pada RM169.3 juta atau RM15 setiap kaki persegi baru-baru ini.
Menurut firma berkenaan, kedudukan tanah itu yang berhampiran dengan kawasan pembangunan matang, menawarkan kelebihan penting terutamanya permintaan yang berpotensi di kalangan mereka yang mahu memiliki hartanah dengan nilai yang lebih tinggi di kawasan itu kepada rumah yang lebih besar, baru dan reka bentuk yang lebih menarik.
Cadangan pembangunan berkenaan yang akan menggantikan simpanan tanah syarikat dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.5 bilion.
“Pembangunan tanah diunjur bermula pada akhir 2011 atau awal tahun kewangan 2012, dengan tempoh pembangunan selama lapan tahun.
“Tanah berkenaan dijangka dimajukan kepada sebuah perbandaran dengan campuran hartanah kediaman dan komersial,” demikian menurut OSK dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma itu, sumbangan pendapatan yang paling awal dijangka bermula dari akhir 2011 (atau awal tahun kewangan 2012).
Bagaimanapun memandangkan maklumat pelancaran dan pembangunan masih belum berapa lengkap, ia tidak mengambil kiranya ke dalam unjuran pendapatan sekarang, katanya.
Sementara itu, ECMLibra Investment Research menurunkan saranan terhadap SP Setia Bhd daripada “beli” kepada “tunggu” memandangkan ia percaya pemaju hartanah berkenaan pada nilai yang sewajarnya.
Menurut firma berkenaan, tiada perubahan kepada anggaran pendapatan adalah perlu memandangkan sumbangan pendapatan daripada projek baru akan memberi kesan hanya mulai tahun kewangan 2013.
Mengenai asas kaki persegi, ECMLibra berkata pembelian setakat ini yang paling mahal oleh syarikat itu di Johor.
“Dalam hal demikian, berasaskan kepada nilai pembangunan kasar (GDV) yang dianggarkan pengurusan sebanyak RM1.5 bilion, hasil GDV projek baru bagi setiap ekar sebanyak RM5.8 juta yang melebihi RM2 juta hingga RM4 juta bagi projek sedia ada SP Setia di Johor.
“Melihat kepada kos tanah sebagai sebahagian GDV, harga pemerolehan nampaknya munasabah memandangkan ia hanya membabitkan 11 peratus GDV yang seiring dengan projek sedia ada di Johor,” katanya. – Bernama


