SHARE AND LIKE THIS POST

Setelah berdiri selama 115 tahun di tengah kotaraya, Penjara Pudu akhirnya mula dirobohkan pada Isnin (21 Jun 2010) jam 10pm.  Pelbagai kenangan akan dibawa bersama dengan runtuhnya Penjara Pudu. Pada malam tersebut, pelbagai lapisan masyarakat, tempatan dan juga pelancong asing menyaksikan proses meruntuhkan salah satu ikon sejarah di bandaraya Kuala Lumpur.

Pada masa ini kerajaan tidak berhasrat untuk mengekalkan lambang sejarah tersebut kerana ingin memberi laluan kepada pembangunan terutamanya untuk pembesaran jalan raya di kawasan berkenaan yang semakin kritikal.  Walau bagaimanapun, semakin banyak suara-suara dari pelbagai pihak termasuklah NGO, dan juga individu-individu termasuklah Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.  Menurut beliau, masih belum terlambat untuk pemaju yang bertanggungjawab membangunkan tapak berkenaan iaitu UDA Holdings Berhad (UDA) mengambil langkah berkenaan memandangkan hingga kini hanya sebahagian tembok yang menghadap Jalan Pudu dirobohkan.

Saya juga berpendapat sebahagian ‘facade’ atau tembok dan pintu masuk (dengan tulisan 1895) Penjara Pudu patut dikekalkan dan di integrasikan bersama projek baru nanti.   Ini sepatutnya tidak akan menjadi masalah kerana telah banyak dilakukan bukan sahaj diluar negara tetapi di Kuala Lumpur sendiri seperti di sekitar Jalan TAR dan sekitarnya.

Sememangnya kos akan menjadi isu utama jika sebahagian Penjara Pudu ingin dikekalkan tetapi itu tidak seharusnya menjadi penghalang dan alasan utama ianya patut dimusnahkan sepenuhnya.  Kerajaan sekarang dan mereka yang berkuasa sekarang akan bertanggungjawab diatas kehilangan khazanah unik ini apabila pada masa akan datang ianya hanya sekadar kenangan dan gambar untuk generasi akan datang.  Sebagai kerajaan yang prihatin (hmmm.. prihatin ke?).. mereka seharunya menggunakan kuasa dan peruntukan yang ada untuk melindungi bangunan bersejarah dan tidak tunduk dengan desakan pembangunan dari pemaju-pemaju yang hanya dahagakan keuntungan semata-mata.  Kerajaan seharusnya menetapkan garis panduan pembangunan yang mana mensyaratkan sebahagian Penjara Pudu (mungkin sebahagian tembok tadi) dikekalkan dan diintegrasi bersama dengan pembangunan akan datang sebelum memberikan ‘award’ kepada kontraktor yang layak.

Malaysia seharusnya belajar dari negara-negara maju yang amat sensitif dengan bangunan lama dan tidak sewenang-wenangnya merobohkan bangunan lama yang dianggap sejarah sekadar untuk memberi laluan kepada pembangunan. Walaupun kos akan meningkat akibat daripada pengekalan struktur lama ini, ianya perlu dilakukan oleh pemaju sebagai salah satu tanggungjawab sosial mereka.

Bagi anda yang masih belum mengetahui mengenai perancangan projek pembangunan di tapak Penjara Pudu, ianya merupakan satu projek mega yang akan menelan belanja RM5.5 Billion dan dibina secara berperingkat-peringkat mengikut fasa dan mengambil masa 10 tahun.  Projek ini adalah projek pembangunan bercampur komersil dan kediaman di mana 60% adalah untuk tujuan komersil dan pejabat manakal baki 40% untuk kediaman.  Ianya akan dimulakan dengan projek pembesaran jalan dan laluan bawah tanah untuk mengatasi kesesakan di kawasan tersebut.

Anda mempunyai pendapat tersendiri mengenai pembangunan Penjara Pudu?  Apa kata kongsikan di sini…

Comment

BERI MAKLUM BALAS