Selepas beberapa bulan spekulasi mengenai penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh penganalisis-penganalisis ekonomi, Bank Negara Malaysia, pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari Isnin memutuskan untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman kepada 3.25 peratus daripada 3.50 peratus.
Menurut BNM keputusan menurunkan kadar OPR yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) itu adalah sebagai langkah awal untuk menyediakan persekitaran monetari yang menyokong pertumbuhan negara. Berikutan keputusan itu, kadar tertinggi campur tangan BNM adalah pada 3.50 peratus manakala kadar terendahnya pula adalah 3.00 peratus. Pengumuman BNM menjawab spekulasi di pasaran yang mana penganalisis meramalkan OPR akan diturunkan sehingga 50 mata asas secara berperingkat-peringkat bermula dengan 25 mata asas hari ini.
Menurut penganalisis, baki 25 mata asas lagi akan diturunkan pada separuh pertama tahun depan berikutan kadar inflasi yang semakin menurun membantu Bank Pusat itu melonggarkan polisi mereka. Menurut BNM penurunan ini dibuat selepas mengambil kira risiko pertumbuhan yang lebih rendah semakin nyata dan tekanan inflasi yang semakin berkurangan.
Bank Pusat berkata, beberapa negara maju telahpun mengalami kemelesetan susulan keadaan tekanan yang buruk dalam sistem kewangan masing-masing.
Kemerosotan permintaan global yang ketara, kejatuhan harga komoditi yang besar dan penurunan harga ekuiti yang nyata telah memberikan tekanan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi serantau.
Sambil menyatakan inflasi global telah mula menurun dan aliran itu akan berterusan, Bank Pusat berkata, perkembangan ini mendorong pihak berkuasa menyediakan sokongan kecairan secara besar-besaran kepada pasaran kewangan dan mengambil langkah penyelesaian sektor kewangan, rangsangan fiskal dan kelonggaran dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
Bank Pusat menjelaskan lagi, perkembangan global yang buruk telah menjejaskan ekonomi Malaysia seperti prestasi eksport yang lebih perlahan dan harga ekuiti yang rendah.
Katanya, meskipun permintaan dalam negara kekal mapan, terdapat tanda-tanda aktiviti sektor swasta akan menjadi lebih rendah dalam keadaan pasaran pekerja yang tidak menggalakkan dan suasana perniagaan semakin mencabar.
“Dalam keadaan ini, mengekalkan permintaan dalam negeri adalah penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi pada 2009 kekal positif. Risiko terhadap kestabilan harga kini berkurang dan kadar inflasi menyederhana daripada kadar tertingginya pada suku ketiga tahun ini,” kata BNM sambil menambah inflasi akan menyederhana lagi pada separuh kedua tahun depan.
Bila OPR turun, apa impact kpd kita, rakyat Malaysia? Adakak kita yg nak buat loan bank akan untung? Adakah interest bank utk housing loan, car loan turun atau sebaliknya??
Apabila OPR turun, kadar Pinjaman Asas (BLR) juga akan ikut turun. Ini akan dapat mengurangkan bayaran pinjaman anda. Sila rujuk posting terbaru untuk maklumat lanjut mengenai penurunan BLR oleh CIMB dan Maybank berikutan penurunan OPR yang diumumkan terdahulu.