SHARE AND LIKE THIS POST

Iskandar Malaysia, dahulunya dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar Development Region, IDR) bakal menjadi hab pengajian perubatan di rantau ini pada masa hadapan dengan penubuhan Universiti Perubatan Newcastle Malaysia (NUMed) yang dijangka beroperasi pada tahun hadapan.

Univesiti tersebut menjangkakan pelajar-pelajar daripada Malaysia, Singapura dan Indonesia akan melanjutkan pengajian perubatan di kampus tersebut apabila dibuka kelak.  Dengan ranking 10 universiti perubatan teratas di United Kingdom, lebih ramai lagi pelajar dijangkakan melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.

Universiti Perubatan Newcastle Malaysia (NUMed) dijangka siap sepenuhnya pada 2011 dan pihak universiti tersebut akan melabur RM400 juta dalam tempoh 30 tahun akan datang untuk membangunkan kampus tersebut.

Comment

1 komen

  1. Iskandar Malaysia terima RM21.8b pelaburan asing sejak dilancar

    25/11/2008 5:57pm

    JOHOR BAHRU 25 Nov. — Dewan Undangan Negeri Johor hari ini diberitahu sebanyak 54 peratus atau RM21.8 bilion daripada RM40.25 bilion kemasukan pelaburan di Iskandar Malaysia melibatkan pelaburan asing terutama dalam sektor pembuatan dan hartanah.

    Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata daripada RM21.8 bilion kemasukan pelaburan asing itu, RM16.78 bilion melibatkan sektor pembuatan manakala RM4.98 bilion lagi melibatkan pelaburan hartanah.

    “Iskandar Malaysia telah dilancarkan pada 2006 dan sehingga September lepas sejumlah RM40.25 bilion kemasukan pelaburan direkodkan di koridor ini dengan RM21.8 bilion daripadanya adalah dari pelabur asing,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Cher Puk (BN-Johor Jaya), Ng See Tiong (BN-Parit Yaani), Tang Nai Soon (BN-Pekan Nenas), Ayub Jamil (BN-Rengit), Datuk Abdullah Ali (BN-Bukit Naning), Datuk Hasni Mohamad (BN-Benut) dan Datuk Abd Hamid Abd Rahman (BN-Machap) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

    Daripada RM16.78 bilion pelaburan asing dalam sektor pembuatan itu, kata Abdul Ghani Timur Tengah merupakan pelabur terbesar dengan sejumlah RM4.9 bilion diikuti Sepanyol (RM4.2 bilion), Jepun (RM2.85 bilion), Singapura (RM1.87 bilion), Belanda (RM1.6 bilion) dan Jerman (RM1.37 bilion).

    Beliau berkata kemasukan pelabur ke koridor berkenaan berdasarkan beberapa faktor utama termasuk komitmen tinggi oleh kerajaan pusat yang memperuntukkan sejumlah RM6.83 bilion bagi projek infrastruktur.

    Katanya tanah sedia ada di Iskandar Malaysia mempunyai infrastruktur yang baik dengan terdapat tiga pelabuhan utama dan sebuah lapangan terbang antarabangsa selain terletak di tengah laluan dagang Asia Tenggara dan berada antara dua kuasa ekonomi besar dunia, iaitu India dan China.

    Menurut Abdul Ghani, statistik Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) merekodkan sekurang-kurangnya 9,757 pekerjaan baru dijanakan di Iskandar Malaysia hasil pelaburan sejumlah RM9 bilion dalam bidang pembuatan, sejak koridor itu dilancarkan dua tahun lepas sehingga Ogos tahun ini.

    “Selain menawarkan pekerjaan, pelabur terlibat juga membantu kerajaan dalam membangunkan modal insan. Syarikat minyak dan gas gergasi Amerika, yang dikenali sebagai FMC di Gelang Patah contohnya, menawarkan peluang pekerjaan kepada antara 300 hingga 400 orang penduduk tempatan dan dalam masa yang sama turut melatih kepakaran teknikalnya kepada pelajar tempatan bermula di sekolah teknik dan vokasional sebelum diambil bekerja syarikat berkenaan selepas mereka tamat kursus,” katanya.

    Mengenai perbelanjaan kerajaan pusat terhadap Iskandar Malaysia, beliau berkata Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) membelanjakan RM72 juta sepanjang tahun ini bagi pembayaran yuran juru perunding dan pengambilan balik tanah.

    Katanya Irda menganggarkan akan membelanjakan RM400 juta untuk pelbagai pembayaran termasuk kerja fizikal bagi projek infrastruktur yang dimulakan bulan lepas, juru perunding dan baki pembayaran pengambilan balik tanah.

    — BERNAMA

BERI MAKLUM BALAS