SHARE AND LIKE THIS POST

Kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM7 Billion 2 hari yang lalu dalam usaha menstabilkan ekonomi Malaysia, mengurangkan bebanan kepada rakyat dan meningkatkan lagi keyakinan pelabur dan sektor swasta.  Adakah jumlah ini mencukupi dan adakah ianya benar-benar berupaya mencapai objektif yang ingin dicapai, itu saya kurang pasti sebagaimana apa yang berlaku dengan penambahan jumlah RM5 Billion terhadap ValueCap.  Apa yang lebih menarik minat saya di sini adalah mengenai sebahagian daripada jumlah berkenaan iaitu sebanyak RM1.2 billion akan digunakan untuk pembinaan sebanyak 25,000 rumah kos rendah dan sederhana.

Buat masa ini pecahan terhadap berapa bilangan kos rendah dan kos sederhana juga tidak dapat dipastikan tetapi berdasarkan kepada harga purata sebanyak RM48,000 sebuah menunjukkan lebih banyak rumah kos rendah berbanding kos sederhana.  Jika benar lebih banyak rumah kos rendah akan dibina, saya benar-benar ingin tahu di mana sebenarnya ianya akan dibina.  Ini kerana buat masa ini di seluruh negara terdapat beribu-ribu rumah kos rendah yang masih tidak terjual dan juga terdapat beribu-ribu lagi rumah kos rendah yang berada dalam status NPL dalam rekod dan simpanan bank yang sebahagiannya dilelong dengan harga rezab kurang daripada RM10,000.  Jika benar kerajaan ingin menolong rakyat rumah kos rendah di bawah status NPL ini seharusnya lebih diberi perhatian dengan membelinya pada harga ‘diskaun’ dan kemudiannya dapat dijualkan atau disewakan semula pada harga yang sangat rendah.  Walaupun, kemungkinan lokasi sesetengah rumah ini bukanlah ‘prime area’ tetapi saya fikir pastinya dengan harga berkenaan (serendah RM10,000 atau kurang) pasti ada diantara mereka yang berminat dan mampu membeli berbanding RM42,000.

Jika kerajaan bercadang untuk membina rumah kos rendah di kawasan bandar-bandar besar, saya tidak fikir jumlah 25,000 tersebut dapat dicapai kerana nilai tanah yang mahal tetapi itu lebih baik kerana keperluan perumahan jenis ini di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur adalah lebih tinggi.

Selain itu, secara peribadi saya berpendapat kerajaan juga harus lebih menumpukan kepada pembinaan rumah kos sederhana dan sederhana rendah dengan harga yang lebih berpatutan iaitu meningkatkan lagi pembinaan rumah di bawah harga RM100K untuk golongan berpendapatan sederhana.  Ini kerana selama ini tumpuan lebih diberikan kepada pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah dan akhirnya golongan pertengahan tersepit kerana kurangnya penawaran rumah jenis kos sederhana dipasaran dengan harga berpatutan.  Golongan berpendapatan sederhana juga sebenarnya tidak banyak pilihan kerana mereka tidak layak untuk membeli rumah kos rendah kerana sekatan yang ada tetapi dalam masa yang sama tidak mampu untuk membeli apartment-apartment biasa yang dibina pihak swasta kerana harganya yang melampau tinggi.

Untuk golongan pertengahan ini saya berpendapat mereka yang berpendapatan isirumah RM6,000 (atau mungkin RM7,000 di bandar besar) dan ke bawah sahaja diberikan peluang untuk membeli dan saiz rumah seharusnya tidak kurang daripada 900kp. Harga pula seharusnya tidak melebihi RM100K (sebaiknya disekitar harga RM80K) untuk kawasan bandar seperti Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.  Bagi memastikan harga tersebut dapat ditawarkan kepada pembeli (jika kos menjadi isu), kemungkinan kemasan asas sahaja diberikan seperti hanya lantai simen biasa (bukannya seramik) tetapi dalam masa yang sama tidak harus mengurangkan kualiti binaan lain seperti struktur binaan.  Saya yakin dengan menyediakan lebih banyak perumahan untuk golongan ini kerajaan akan lebih dapat mencapai objektif perumahan untuk rakyat kerana golongan pertengahan ini sememangnya sudah lama tersepit terutamanya mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.  Dengan struktur cukai pendapatan semasa juga menambahkan lagi kesukaran kepada mereka dan saya yakin melalui program ini sebagaimana program PPR kos rendah, golongan pertengahan ini akan lebih terbela.

Walau bagaimanapun, yang penting di sini adalah statistik semasa harus diperolehi dan dikaji terlebih dahulu sebelum pembinaan sesebuah perumahan awam dilakukan.  Sebagaimana yang telah saya nyatakan terdahulu, pembinaan PPR tidak seharusnya lebih tertumpu kepada kos rendah sahaja kerana di dalam pasaran masih terdapat banyak rumah jenis ini yang tidak terjual tetapi seharusnya turut menumpukan terhadap perumahan kos sederhana.

Comment

BERI MAKLUM BALAS