SHARE AND LIKE THIS POST

Memang menarik apabila berulangkali menonton isu masalah penyelenggaran di sebuah flat yang dilaporkan di TV3.  Buat kali kedua dilaporkan jenazah terpaksa diusung dari tingkat tinggi menuruni tangga akibat lif yang rosak dan tidak dibaiki oleh pihak pengurusan.  Bagi penduduk/pemilik, pemaju bersikap lepas tangan dan sengaja tidak mahu membaiki lif walaupun sesetengahnya mendakwa yuran maintenance telah dibayar.  Bagi pihak pengurusan pula, penduduk tidak membayar yuran pengurusan dan bagaimana untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jika bayaran tidak dibuat. Masalah ini seperti cerita ‘chicken and egg’ dan akan berterusan menjadi tuduh menuduh yang tiada kesudahan jika tidak dicari punca sebenar.

Bag saya isu penyelenggaraan dan yuran tidak berbayar adalah perkara biasa didengar terutamanya di kawasan perumahan flat.  Di dalam kes seperti ini, perkara pertama yang harus diketengahkan atau ‘digali’ dari pengurusan adalah berapa banyak yuran pengurusan yang telah dibayar dan berapa ramai penduduk yang sebenarnya membayar yuran ini.  Dan saya tidak terperanjat jika mendapati bilangan mereka yang membayar adalah kurang daripada 30%.  Inilah sebenarnya masalah yang sering dihadapi dan tidak juga dinafikan masalah pihak pengurusan sendiri tetapi saya yakin jika majoriti penduduk membayar yuran tersebut pastinya masalah penyelenggaraan tidak sempurna tidak terjadi.  Jika dilihat dari laporan yang dipaparkan TV3 juga saya dapat melihat keadaan lif yang amat uzur dengan butang lif tercabut, diconteng dengan teruk dan jika anda berfikir sejenak siapakah yang melakukan perkara-perkara sedemikian? Adakah pihak pengurusan yang sengaja mahu merosakkan lif tersebut? Atau adakah pihak-pihak luar yang datang ke kawasan tersebut semata-mata untuk merosakkan lif berkenaa? Saya pasti anda juga bersetuju jika saya katakan ianya berpunca daripada mereka yang tinggal di kawasan berkenaan sendiri.  Walaupun hanya tindakan segelintir mereke yang ‘nakal’ seperti kanak-kanak atau remaja di kawasan berkenaan, pihak penduduk, jawatankuasa, ibubapa dan mereka yang prihatin seharusnya mengambil tindakan proaktif untuk mengingatkan kepada mereka yang tidak bertanggunjawab ini.  Mungkin dengan mengalami situasi ini sedikit sebanyak mereka akan dapat menghargai jika lif tersebut dibaiki kelak yang tidak dapat dipastikan bila…

Mungkin saya agak memihak kepada pengurusan dan bukannya bersimpati terhadap penduduk flat berkenaan di dalam posting ini, tetapi bagi saya yang betul haruslah dinyatakan.  Saya pernah melihat sendiri bagaimana penduduk di perumahan flat dengan sengaja mengetuk dan memecahkan dinding dan peti surat tanpa alasan, mengorek butang lif dan menconteng perkara tidak senonoh di dalam lif malah kencing di dalam lif.  Atas alasan apakah mereka melakukan perkara ini… Tidak bertamadunkah mereka ini? Kepada anak-anak yang melakukan ini, di manakah tindakan dan tanggungjawab menegur oleh ibu bapa mereka?  Mungkin mereka melakukan di luar pengetahuan ibu bapa tetapi nasihat berterusan adalah perlu untuk kebaikan semua.

Dalam keadaan seperti apa yang dilaporkan, bagi saya ianya agak terlambat untuk menentukan tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan.  Sejumlah wang adalah diperlukan untuk menjalankan kerja-kerja membaiki dan penyelenggaraan.  Melainkan mereka yang tidak membayar yuran tersebut tampil untuk membayar tunggakan (amat tipis) atau pihak lain seperti DBKL dan kerajaan datang membantu (tujuan utama ianya di bawa ke media) barulah masalah ini dapat diatasi.  Dan selagi pihak penduduk tidak mempunyai kesedaran untuk menjalankan tanggungjawab membayar yuran penyelenggaraan, saya yakin ianya pasti akan berulang semula.  Bagi pihak pengurusan, cara yang boleh dilakukan untuk membuatkan mereka yang tegar dari membayar yuran ini adalah dengan menampalkan notis peringatan dan nama-nama mereka yang masih tidak membayar berserta no. rumah dan jumlah tunggakan supaya penduduk lain yang membayar tahu siapakah ‘dalang’ punca penyelenggaraan tidak dapat dilakukan dan adil kepada mereka yang membayar.  Bekalan air juga boleh diputuskan (walaupun tidak disyorkan) sebagai amaran untuk mereka dan ini perlulah dilakukan dengan notis awal selama 14 hari sebelum pemotongan dilakukan.

Dengan cara ini sahajalah tindakan yang adil untuk semua dapat dilakukan dan kerja-kerja penyelenggaraan dapat diteruskan.  Dan jika semua perkara berada dalam keadaan yang betul tetapi pihak pengurusan masih tidak melakukan penyelenggaraan, maka bawalah mereka ke muka pengadilan sepertimana yang termaktub dalam Akta Hakmilik Strata dan Akta Bangunan & Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007.

Comment

1 komen

  1. sambungan kepada posting ini..
    Selepas isu di sebuat Flat Sentul ini dibangkitkan dan dibawa ke atas oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah kerajaan telah meluluskan sejumlah RM28juta untuk penyelenggaraan perumahan awam di Kuala Lumpur di mana RM7 juta untuk pembersihan dan RM6.5 juta untuk penyelenggaraan lif. Tidak dapat dipastikan sama ada jumlah ini akan digunakan untuk semua flat termasuk di bawah pengurusan swasta/persendirian ataupun hanya untuk flat di bawah pengurusan DBKL/PKNS. Walau apapun, bagi mereka yang mendapat manfaat daripada bantuan ini, hargailah permberian yang diberikan dan janganlah kerana ianya percuma maka ia tidak dihargai dan dirosakkan sesuka hati..

BERI MAKLUM BALAS