SHARE AND LIKE THIS POST

Malaysia dikejutkan lagi dengan bencana banjir besar yang berlaku di Selangor, Pahang dan diikuti dengan negeri-negeri lain disaat pandemik Covid-19 masih lagi belum berakhir. Ramai mangsa banjir yang hilang tempat tinggal dan harta benda lain seperti kenderaan. Walaupun anda tinggal di bangunan strata, perlu diingatkan bahawa banjir bukan sahaja datang dari bencana alam, malah boleh berlaku sekiranya berlaku empangan pecah dan lain-lain punca yang boleh membawa kepada kenaikan paras air.

𝐒𝐞𝐤𝐢𝐫𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐥𝐚𝐤𝐮 𝐛𝐚𝐧𝐣𝐢𝐫, 𝐚𝐩𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐚𝐧𝐝𝐚 𝐥𝐚𝐤𝐮𝐤𝐚𝐧??
𝟭. 𝗧𝘂𝘁𝘂𝗽 𝗦𝗲𝗺𝘂𝗮 𝗣𝘂𝗻𝗰𝗮 𝗔𝗶𝗿/𝗧𝗲𝗺𝗽𝗮𝘁 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗕𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗗𝗶𝗺𝗮𝘀𝘂𝗸𝗶

Apabila anda menyedari banjir, tutup semua punca air atau tempat yang boleh dimasuki air seperti pintu dan tingkap. Tindakan ini adalah untuk menyekat air memasuki rumah dengan lebih cepat.

𝟮. 𝗧𝘂𝘁𝘂𝗽 𝗣𝘂𝗻𝗰𝗮 𝗘𝗹𝗲𝗸𝘁𝗿𝗶𝗸

Matikan suis utama elektrik kerana air merupakan bahan konduktor untuk haba/eletrik dan boleh menyebabkan renjatan. Pastikan anda memakai bahan penebat apabila mematikan suis elektrik serta diingatkan juga untuk tidak berjalan di kawasan yang telah dimasuki air.

𝟯. 𝗦𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗸𝗮𝗻 𝗦𝗲𝗺𝘂𝗮 𝗗𝗼𝗸𝘂𝗺𝗲𝗻 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗶𝗻𝗴

Anda tidak boleh jangka kelajuan paras air banjir menenggelami kediaman anda. Oleh itu, semua dokumen penting seperti geran kereta dan rumah, sijil kelahiran, dan segala yang dokumen yang berkaitan harta benda dan diri anda perlu segera diselamatkan dan sebaiknya masukkan ke dalam bekas kedap udara/air. Seterusnya, pindahkan barang-barang penting dan berharga di tempat yang tinggi.

𝟰. 𝗔𝗺𝗯𝗶𝗹 𝗚𝗮𝗺𝗯𝗮𝗿 𝗥𝘂𝗺𝗮𝗵 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗺𝗮𝘀𝘂𝗸𝗶 𝗔𝗶𝗿

Ambil gambar rumah yang dimasuki air sebanyak yang mungkin untuk bukti bahawa rumah dan harta benda anda mengalami kerosakan akibat banjir. Bukit ini sangat penting untuk anda membuat tuntutan insurans dan rekod polis.

𝟱. 𝗗𝗮𝗽𝗮𝘁𝗸𝗮𝗻 𝗕𝗮𝗻𝘁𝘂𝗮𝗻/𝗣𝗶𝗻𝗱𝗮𝗵 𝗞𝗲 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝗻𝗱𝘂𝗻𝗴𝗮𝗻

Pastikan anda dan keluarga berada dalam keadaan yang baik serta dapatkan bantuan daripada anggota/pasukan penyelamat untuk berpindah ke tempat perlindungan. Bagi mereka yang masih boleh bergerak dan mempunyai kenderaan, segara berpindah ke tempat perlindungan tanpa menunggu paras air banjir tinggi.

𝟲. 𝗥𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘀𝗶𝗵𝗮𝘁𝗮𝗻

Periksa setiap ahli keluarga jika terdapat sebarang kecederaan dan dapatkan rawatan segera. Elakkan bermain air banjir atau berada dalam air banjir untuk masa yang terlalu lama kerana dikhuatiri terkena jangkitan kuman daripada air banjir atau binatang berbahaya.

𝟳. 𝗟𝗮𝗽𝗼𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗼𝗹𝗶𝘀 & 𝗛𝘂𝗯𝘂𝗻𝗴𝗶 𝗔𝗴𝗲𝗻𝘀𝗶 𝗜𝗻𝘀𝘂𝗿𝗮𝗻

Pergi ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan kerugian, kehilangan dan kerosakan harta benda. Anda juga perlu menghubungi agensi insurans untuk membuat laporan yang sama bagi tuntutan insurans sekiranya ia termasuk dalam plan yang anda carum (pelindungan bencana banjir). Bagi penyewa, hubungi pemilik rumah untuk membuat tindakan lanjut.

𝟴. 𝗛𝘂𝗯𝘂𝗻𝗴𝗶 𝗣𝗶𝗵𝗮𝗸 𝗕𝗮𝗻𝗸

Hubungi pihak bank bagi mereka yang mempunyai masalah untuk membayar ansuran pinjaman anda disebabkan terkesan akibat banjir. Berbincang dengan pihak bank untuk meminta budi bicara bagi penangguhan pembayaran untuk beberapa tempoh yang dipersetujui. Anda perlu memaklumkan kepada mereka supaya tiada cas bayaran lewat dikenakan atau rekod kredit buruk terhadap anda.

𝟵. 𝗕𝗮𝗻𝘁𝘂𝗮𝗻 𝗕𝗮𝗻𝗷𝗶𝗿

Sentiasa peka dan dapatkan mana-mana bantuan banjir yang boleh membantu kos membaik pulih atau mengganti segala kerosakan harta benda anda seperti bantuan daripada dana zakat, pihak awam, pihak kerajaan dan sebagainya.

𝟭𝟬. 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗲𝗿𝘀𝗶𝗵𝗮𝗻 𝗞𝗮𝘄𝗮𝘀𝗮𝗻 𝗕𝗮𝗻𝗷𝗶𝗿

Untuk membersihan kawasan selepas banjir, anda perlulah berhati-hati dengan benda tajam, elektrik dan haiwan berbisa. Pastikan anda telah memakai pakaian keselamatan sebelum memasuki rumah selepas banjir. Rumah yang telah ditenggelami akan meninggalkan masalah lumut yang teruk dimana ia boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada penghuni rumah di masa akan datang. Lupuskan segala sisa bahan yang telah tercemar, buang barang yang telah rosak dan gunakan bahan pencuci yang boleh mengawalkan pembiakan lumut. Buka pintu dan tingkat bagi pengudaran rumah dan membantu mengeringkan air.

Pembersihan rumah selepas banjir yang tidak sempurna dan menyebabkan pembiakan lumut pada masa akan datang boleh memberi kesan kepada nilai hartanah.

#tipshartanah
#banjir
#persediaanBANJIR
Comment

BERI MAKLUM BALAS