SHARE AND LIKE THIS POST

HULU SELANGOR – Jika dahulunya Hulu Selangor kurang dikenali masyarakat luar dan pernah mendapat jolokan ‘tempat jin bertendang’ namun situasi kini berbeza apabila daerah ini menjadi tarikan pelancong.

Kedudukannya yang terletak di antara bahagian utara dan selatan yang dihubungkan melalui Jalan Persekutuan 1, Lebuh Raya Utara Selatan atau menggunakan Kereta Api Tanah Melayu (KTM) Komuter.

Daerah ini juga digunakan untuk laluan ke arah Pantai Timur melalui Bukit Fraser dan Genting Highlands.

Pada 2008, bilangan penduduk hanya berjumlah 197,916 orang dan meningkat setiap tahun sehingga kini mencecah 306,073 penduduk berbilang kaum tidak termasuk golongan perantau yang mencari rezeki di daerah ini.

Nilai hartanah di Hulu Selangor turut menunjukkan peningkatan namun masih berada di tahap mampu milik berbanding di kawasan Lembah Klang dan bandar lain di negeri ini.

Bagi seorang penduduk, Suhaimi Zainal Abiddin, 47, pemilikan rumah semakin mendapat permintaan tinggi apabila harga yang ditawarkan lebih murah termasuk jenis rumah apartmen serendah RM30,000.

“Dulu orang cakap Hulu Selangor ini tempat jin bertendang tetapi sekarang tidak lagi dan ramai yang tinggal di sini berulang-alik kerja di Kuala Lumpur atau sekitar Shah Alam,” katanya.

Manakala hampir 50 peratus dari keluasan daerah ini dikekalkan sebagai hutan simpan yang menyediakan kawasan rekreasi dan pelancongan yang indah.

Beberapa aktiviti sukan lasak bertaraf antarabangsa yang dipromosikan dalam kempen Tahun Melawat Hulu Selangor 2017 berjaya mengangkat nama daerah ini di mata dunia.

Antara tarikan alam semula jadi yang sering dikunjungi pelancong adalah Santuari Ikan Kelah Sungai Chiling, Air Terjun Serendah, Kolam Air Panas Hulu Tamu, Sungai Inki, Lata Medang, Empangan Sungai Selangor dan banyak lagi.

Penggemar sukan lasak turut memilih daerah ini bagi melakukan aktiviti mendaki Bukit Kutu dan Gunung Rajah, luncur udara, water rafting, cabaran pacuan empat roda, basikal dan motosikal lasak serta terbaharu terjun tali hayun (dihentikan sementara waktu).

Terdapat sebuah Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun di Felda Soeharto, Ulu Bernam ditubuhkan sejak 2004 berfungsi sebagai tempat rawatan, pemulihan dan pembiakan tapir.

Pengunjung ditawarkan pelbagai penginapan moden dan berkonsepkan kehijauan alam seperti Kalumpang Resort, Seri Damai Resort, Teratak River View Resort dan sebagainya.

Pusat pentadbiran daerah terletak di Pekan Kuala Kubu Bharu yang mempunyai reka bentuk bangunan bersejarah apabila dibina sejak 1940 ketika negara di bawah penjajahan British.

Peninggalan sejarah boleh dilihat pada runtuhan banglo rehat pegawai British di puncak Bukit Kutu yang musnah dibom tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Kewujudan kunci air berusia lebih 100 tahun dipanggil Perigi Tujuh di Serendah antara khazanah tertua tinggalan zaman pentadbiran Inggeris yang masih berfungsi sehingga sekarang.

Comment

BERI MAKLUM BALAS