Cyberjaya: Kelembapan pasaran hartanah bukan sesuatu yang baharu kerana ia mula dirasai sejak dua tahun lalu dan antara faktornya kesukaran mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan selain peningkatan harga rumah yang sentiasa berlaku dari setahun ke setahun.
Bagaimanapun, keperluan untuk memiliki kediaman sendiri tetap menjadi keutamaan setiap orang tanpa mengira latar belakang ekonomi masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, pihaknya komited dan sentiasa mengambil langkah strategik bagi memastikan rakyat terus dapat memiliki rumah meskipun dalam keadaan ekonomi dan persekitaran kewangan yang mencabar.
Beliau berkata, walaupun terdapat pelbagai cabaran perniagaan sejak dua tahun lalu, SPNB masih mengekalkan momentum penjualan 80 peratus daripada kediaman dibinanya di bawah harga RM300,000 seunit sejak empat tahun lalu dan tidak bercadang mengubah kadar itu buat masa ini.
“Kami mengadakan pelbagai program kediaman untuk rakyat, antaranya tiga paling utama iaitu Projek SPNB Aspirasi, Projek SPNB Idaman dan Projek Aspirasi Mesra yang ketiga-tiga projek itu bakal mewujudkan 21,636 unit kediaman di seluruh negara tahun ini.
“Walaupun cabaran ekonomi semasa memberi kesan kepada kos peningkatan jualan dalam kalangan pemaju, tetapi kami masih mengekalkan kadar jualan yang sama dengan mengambil langkah mengurangkan kos operasi dan setakat tahun lalu mencatatkan pengurangan RM9 juta,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bisnes Metro, di sini, semalam.
Pada tahun ini, SPNB dijangka menyiapkan 4,539 unit Rumah Aspirasi Rakyat dan Rumah Idaman Rakyat di beberapa negeri antaranya Kedah, Perak, Melaka, Pahang dan Sabah.
Selain itu, 9,264 unit Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia dijangka dapat disiapkan tahun ini yang memberi peluang kepada orang ramai memiliki tanah persendirian untuk membina kediaman mereka menerusi SPNB sebagai pemaju.
Ahmad Azizi berkata, Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia adalah produk hartanah paling popular memandangkan ia memberi bantuan kepada penduduk di kawasan luar bandar khususnya untuk memiliki rumah dengan kadar penjualan kompetitif.
Beliau berkata, produk itu dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan menawarkan harga RM60,000 seunit bagi kediaman berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan RM20,000 daripadanya diberikan subsidi kerajaan.
“Jadi orang ramai yang menyertai program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, harga jualan kepada mereka hanya RM45,000 selain boleh memohon dana daripada SPNB bagi tujuan pembiayaan.
“Sekiranya mereka mahu membangunkan kediaman berkeluasan 1,000 persegi, komitmen bulanan hanya RM270 manakala bagi kediaman berkeluasan 900 kaki persegi, setiap bulan mereka hanya perlu membayar RM190 kepada kami,” katanya.
Pembiayaan SPNB bagi produk Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia memberi peluang kepada rakyat di luar bandar yang tidak mempunyai dokumen kewangan diperlukan oleh bank tetapi memenuhi syarat yang membolehkan mereka layak mendapatkan pembiayaan, antaranya anggaran pendapatan isi rumah diperakui pelbagai pihak.
Setakat ini, SPNB masih mencatatkan hutang tidak berbayar (NPL) sekitar empat hingga enam peratus setahun dan lebih rendah, sekali gus menunjukkan kemampuannya membantu penduduk di luar bandar untuk memiliki rumah dan menguruskan kewangan dengan cekap.