SHARE AND LIKE THIS POST

Penilai harta adalah antara insan penting dalam pembahagian harta pusaka kerana golongan itu akan memberikan penilaian sebenar kepada sesebuah harta sekali gus mewujudkan garis panduan yang diyakini kepada sesuatu keluarga dalam mendapatkan bahagian harta masing-masing mengikut undang-undang yang sah.

Untuk memahami peranan penilai harta ini, kita perlu melihat terlebih dahulu definisi bagi golongan ini kerana masih ramai yang kurang jelas mengenai fungsi penilai harta ini meskipun ia bukanlah satu perkara baru di negara ini.

‘Penilai berdaftar’ mengikut takrifan Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981 (Akta 242) ialah seseorang yang namanya dimasukkan dibawah Bahagian I Daftar dan memperoleh suatu kuasa untuk menjalankan amalan penilaian, pengurusan harta atau perundingan harta daripada Lembaga Penilaian, Pentaksiran dan Ejen Hartanah Malaysia (LPPEH atau Lembaga) dibawah Seksyen 16 akta terbabit.
 Mengikut Akta 242 dibawah Seksyen 19 – (amalan penilaian), hanya penilai berdaftar atau pentaksir berdaftar yang diberi kuasa untuk menjalankan amalan penilaian oleh lembaga yang merangkumi penilaian mengenai semua tanah dan bangunan termasuk perabot, lekapan, stok tred, loji atau jentera dan barang-barang lain.

Ia juga merangkumi penilaian tanah dan bangunan yang dikehendaki bagi kajian kemungkinan, pengurusan projek, prosiding mahkamah, timbang tara atau maksud lain dan pengurusan harta serta menyediakan atau menyemak dan memeriksa inventori perabot, lekapan, stok tred, loji atau jentera dan barang lain.

Selepas memahami definisi penilai harta, mari kita lihat pula apakah itu harta pusaka? Pusaka adalah harta yang ditinggalkan oleh si mati di mana mengikut pentadbiran pusaka di Malaysia ia boleh dikategorikan kepada tiga iaitu harta pusaka besar membabitkan harta tidak beralih (rumah/tanah) atau harta boleh alih sahaja atau gabungan kedua-duanya.

Untuk kategori ini, nilai harta mesti lebih daripada RM2 juta dan meninggalkan wasiat meskipun nilaian kurang daripada jumlah terbabit di mana semua ini adalah dibawah bidang kuasa pentadbiran Mahkamah Tinggi (Akta Probate dan Pentadbiran 1959).

Kategori kedua bagi harta pusaka adalah harta pusaka kecil di mana si mati tidak meninggalkan wasiat (untuk si mati bukan Islam) dan harta itu terdiri daripada harta tidak beralih sahaja atau harta tidak beralih bersama dengan harta boleh alih Tak Alih (Tanah/Rumah) sahaja atau harta tidak Alih (Tanah/Rumah) bersama-sama dengan harta boleh alih seperti wang tunai, saham, kenderaan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)/Insurans (tanpa penama ), Amanah Saham Nasional/Bumiputera (ASN/ASB) dan sebagainya.

Untuk kategori ini, jumlah nilaian keseluruhan harta itu hendaklah tidak melebihi RM2 juta (mulai 1 September 2009) pada tarikh permohonan dibuat di mana ia adalah di bawah bidang kuasa pentadbiran Pejabat Tanah (Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955)

Kategori ketiga harta pusaka adalah harta pusaka ringkas membabitkan harta boleh alih sahaja dengan jumlah kurang daripada RM600,000 dan ia boleh diuruskan oleh Amanah Raya Berhad (Akta Perbadanan ARB 1995).

Apabila faham mengenai dua aspek ini, sudah tentu anda akan tertanya-tanya mengenai harta yang bagaimana perlu dinilai oleh penilai harta. Mengikut peruntukkan undang-undang, harta yang boleh dinilai oleh Penilai Harta adalah harta tidak beralih, tanah dan sebarang kepentingan daripada tanah, hak di atas atau faedah yang terbit atau mungkin terbabit daripada tanah serta harta boleh alih seperti kenderaan, mesin dan jentera.

Kenapa Harta Pusaka Perlu Dinilai? Saya pasti perkara ini pasti akan mengundang persoalan daripada sesetengah individu memandangkan lazimnya segelintir masyarakat tidak begitu ambil berat mengenai perkara ini.

Penilaian hartanah amat diperlukan untuk mendapatkan pendapat nilaian yang bebas dan diperakui di bawah peruntukan undang-undang terutama jika terdapat pertelingkahan mengenai nilai keseluruhan harta pusaka dan ia juga diperlukan untuk tujuan percukaian atau lain-lain tujuan berkanun yang berkaitan dengan ‘probate’ atau pembahagian harta pusaka.

Untuk melaksanakan penilaian hartanah ini maka pelantikan penilai harta akan dilakukan oleh waris yang terbabit dan terdapat empat pihak yang secara umumnya akan memerlukan penilaian harta tanah untuk tujuan ‘probate’.

Pihak-pihak terbabit adalah mana-mana waris yang terbabit atau persetujuan semua waris, waris yang mempunyai pertikaian daripada aspek nilai tanah dan ingin membuat bantahan rasmi, atas arahan pejabat tanah atau mahkamah dan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan ke atas harta tanah terbabit.

Comment

BERI MAKLUM BALAS