KUALA LUMPUR 12 Sept. – Selama 20 tahun mereka menanti dengan sabar untuk tinggal di perumahan yang cantik dan tanpa menghadapi masalah yang menyakitkan hati.
Akhirnya, kesabaran penduduk Flat Taman Pantai Dalam itu membuahkan hasil dan kini mereka menyambutnya dengan penuh rasa syukur dan gembira.
Penantian mereka itu ditamatkan dengan bantuan dan keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang meluluskan peruntukan RM200,000 melalui Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) untuk membaik pulih perumahan itu, yang kini seperti berwajah baru.
Yang Dipertua Persatuan Penduduk flat itu, Mohd. Suhaimi Che Him berkata, dengan peruntukan tersebut, bukan sahaja Flat Taman Pantai Dalam kelihatan baru selepas dicat semula malah masalah infrastruktur seperti kerosakan sistem paip dan saliran juga dapat diatasi.
Katanya, tanpa peruntukan melalui TP1M itu, mungkin masalah yang dihadapi oleh penduduk Flat Taman Pantai Dalam tidak akan selesai sehingga ke hari ini.
Kami bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk Raja Nong Chik kerana prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk di perumahan ini,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Flat Taman Pantai Dalam, di sini baru-baru ini yang turut dihadiri Raja Nong Chik.
Pada majlis itu, Mohd. Suhaimi turut menyerahkan skrol yang mengandungi tandatangan seluruh penduduk Flat Taman Pantai Dalam kepada Raja Nong Chik sebagai tanda terima kasih mereka kepada beliau.
Sementara itu, Raja Nong Chik dalam ucapan ringkasnya memuji sikap sabar penduduk menunggu kelulusan bantuan kerajaan melalui TP1M bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Beliau turut memuji sikap kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk flat itu dalam menjayakan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Flat Taman Pantai Dalam dan berharap mereka mengekalkan sikap itu.
TP1M yang diwujudkan bagi menyenggara rumah kos rendah milik swasta, terutamanya flat di sekitar Kuala Lumpur itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan peruntukan sebanyak RM37.6 juta pada Januari lalu dan diperluaskan kepada semua negeri pada April.
Sumber: Utusan malaysia