Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) telahpun mengumumkan agihan pendapatan untuk tempoh 4 bulan yang berakhir 31 Mac 2011. Sebelum ini pelbagai spekulasi dan perbincangan yang berlegar-legar. Bermula dari anggaran pulangan yang diunjurkan disekitar 6% sehinggalah kepada 9% berbanding REIT dan juga serendah 2%-3% sebagai perbandingan dengan pelaburan am 12 bulan dalam Maybank Islamic Account-i.
Agihan yang diumumkan sebanyak RM2.17 ini boleh dikira sederhana memandangkan tempoh 4 bulan perkiraan dan jika diunjurkan kepada 6 bulan dan setahun, saya fikir pulangan disekitar 5-6% bolehlah dijangkakan oleh pelabur – tidak semenarik ASB kan?.. tapi bagi saya ini hanyalah alternatif kepada mereka yang sudah penuh akaun ASB dan mungkin lebih berbentuk jangka panjang.
Selain itu, memandangkan unit-unit AHB ini telah habis dijual pada masa ini, PHB merancang untuk menawarkan 500 juta unit lagi menjelang akhir tahun ini. Bagi anda yang tidak sempat mendapatkannya sebelum ini, bolehlah bersiap sedia untuk mendapatkannya nanti.
Ikuti berita lanjut di bawah.
PHB Umum Agihan Pendapatan 2.17 Sen
KUALA LUMPUR, 14 April – Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), unit Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, mengumumkan agihan pendapatan pertamanya sebanyak 2.17 sen seunit bagi Amanah Hartanah Bumiputera Unit Trust Fund (AHB) bagi tempoh kira-kira empat bulan yang berakhir pada 31 Mac, 2011.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mayban Investment Management Sdn Bhd (MIM), Nor’ Azamin Salleh berkata agihan pendapatan itu melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM19 juta.
“Agihan pendapatan yang dikecualikan cukai akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit Isnin depan,” katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Tahun kewangan AHB berakhir pada 30 Sept. Agihan pendapatannya, jika ada, akan dibuat atas dasar enam bulan bagi tempoh yang berakhir pada 31 Mac dan 30 Sept setiap tahun.
Sementara itu, Pengarah Urusan/CEO PHB Datuk Kamalul Arifin Othman berkata daripada 60,000 pemegang unit AHB, hampir 40,000 merupakan pelabur kecil yang melabur antara RM500 dan RM1,000.
“Ini menunjukkan dana ini diterima baik oleh kumpulan Bumiputera pendapatan rendah hingga sederhana yang seiring dengan objektif PHB untuk mencapai rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata PHB merancang untuk menawarkan 500 juta lagi unit AHB menjelang akhir tahun dengan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
Kamalul berkata PHB berhasrat membeli lebih banyak aset siap dan yang mendatangkan hasil, menambah simpanan tanahnya dan meneroka kepada lebih banyak projek pembangunan hartanah.
Pada masa ini PHB mempunyai 60 hektar tanah di Lembah Klang dan Pulau Pinang dengan nilai pembangunan kasar dijangka bernilai lebih RM2 bilion, katanya.
Beliau berkata pasaran hartanah akan sentiasa dalam aliran menaik dan akan kekal positif dalam negara.
AHB, dana unit amanah hartanah yang mematuhi syariah berharga tetap, dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 Nov tahun lepas.
Ia bertujuan membolehkan pelabur Bumiputera mengambil bahagian dalam pemilikan benefisial hartanah dengan pelaburan permulaan minimum RM500.
Ia diuruskan oleh MIM dan pemegang amanah ialah AmanahRaya Trustees Bhd.
— BERNAMA
Sy tak berape faham sangat tentang banking and finance nih, just nak tanye, andaikan saya melabur dalam AHB RM 5000, berape banyak RM bank bleh bagi duit hasil dari pelaburan saye? Terima Kasih jika sudi menjawab.