KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, Kerajaan hari ini mengumumkan pengecualian cukai ke atas pendapatan sewaan rumah kediaman sebanyak 50 peratus bagi pendapatan sewa sehingga RM2,000 sebulan kepada individu rakyat Malaysia yang bermastautin di Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini berkata pengecualian ini diberi bermula dari tahun taksiran 2018 hingga 2020, bertujuan menggalakkan pasaran sewaan rumah kediaman.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan juga akan menggubal Akta Sewaan Rumah Kediaman untuk melindungi penyewa dan pemilik rumah.
Perdana Menteri berkata dalam hal perumahan dan kediaman, Kerajaan juga akan merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat dengan peruntukan RM2.2 bilion meliputi pelbagai projek perumahaman.
“Untuk ini, RM1.5 bilion diperuntukkan bagi tempoh dua tahun untuk projek tersebut,” kata Najib dalam Bajet 2018 bertemakan ‘Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50)’ itu.
Selain itu, beliau berkata sebanyak 25,000 unit rumah akan disiapkan pada tahun depan di bawah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan 128,000 unit lagi di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan.
Perdana Menteri berkata turut disentuh adalah pembinaan 600 unit rumah di bawah program My Beautiful New Homes (MyBNHomes) untuk isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) antaranya di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan kawasan orang asli.
Najib turut memaklumkan, sebanyak 2,000 unit rumah akan dibina di bawah program MyDeposit untuk membantu pembayaran deposit, dan program MyHomes untuk pemaju menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.
“Selain itu, sebanyak RM200 juta akan disediakan untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah, termasuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia,” katanya.
Najib berkata bagi menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik, skim ‘step-up financing’ yang diperkenalkan PRIMA akan dipanjangkan kepada pemaju perumahan swasta, berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan.
Berkaitan rumah terbengkalai pula, Perdana Menteri berkata pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik dicadang diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai berkuat kuasa 1 Jan 2018 sehingga 31 Dis 2020.
Najib berkata bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah idaman, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan membenarkan pembiayaan LPPSA ke atas hartanah yang dibangunkan di atas tanah wakaf mulai 1 Januari 2018.
Selain itu, beliau berkata yuran guaman berkaitan penyediaan perjanjian pembiayaan perumahan akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada skop pembiayaan LPPSA.
Najib berkata turut dilaksanakan adalah kebenaran pembiayaan perumahan bersama daripada LPPSA, antara suami-isteri atau anak-anak, dengan syarat semua pemohon adalah anggota perkhidmatan awam.
Perdana Menteri menarik perhatian, pembiayaan perumahan bersama antara suami-isteri atau anak-anak turut dibenarkan dengan syarat, sekurang-kurangnya seorang pemohon adalah anggota perkhidmatan awam.
“Manakala pemohon bersama bukan penjawat awam perlu menggunakan pembiayaan institusi kewangan atau agensi yang mempunyai skim pembiayaan perumahan sendiri, yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua,” katanya. – Bernama


![Kegawatan Ekonomi, ‘Housing Bubble’ dan Pasca Covid-19 [Bahagian 2]](https://tipshartanah.net/wp-content/uploads/2020/04/PART-2-2-e1587368768594-238x178.jpg)