Rumah mampu milik RM600,000

348
0
SHARE AND LIKE THIS POST

Rumah mampu milik RM600,000 ? Betul ke rakyat Malaysia di bandar-bandar rumah mampu miliki rumah yang harganya sampai tinggi macam ni? Dengan bayaran bulanan adalah sekitar Rm3000 sebulan, dengan tambahan kos-kos sara hidup, memangla harga ini memang tidak sepadan dengan kebanyakkan gaji warga kota.


KUALA LUMPUR 18 Jan. – Harga rumah mampu milik pada masa kini terutama di kawasan Lembah Klang dianggap ‘tidak sepadan’ dan tidak mampu dimiliki walaupun bagi rumah kos rendah.

Pengarah Urusan CH Williams Talhar & Wong Sdn. Bhd. (WTW), Foo Gee Jen berkata, perkara itu disebabkan kerana terdapat sesetengah kes harga rumah mampu milik dijual pada RM600,000 sebuah.

Katanya, ia menjadi satu cabaran kepada pembeli untuk mengenal pasti rumah mampu milik yang boleh dimiliki terutamanya untuk pembeli rumah pertama sedangkan permintaan untuk kediaman dijangka terus meningkat.

 “Malah, ada juga sesetengah kes, harga rumah mampu milik dijual pada RM600,000 sebuah. Bagi Lembah Klang, mungkin harga yang sewajarnya ialah RM400,000 sebuah bergantung kepada pendapatan isi rumah. Tetapi, ia tidak perlulah membina rumah dengan keluasan 350 persegi dan dijual sehingga beribu-ribu ringgit untuk satu kaki persegi kerana ia tidak masuk akal.

“Bagaimanapun, dalam soal ini, perkara paling penting ialah tertakluk kepada permintaan dan bekalan terutama apabila melibatkan harga kos tanah,“ katanya dalam sidang akhbar Tinjauan Prospek Pasaran Hartanah Asia Pasifik – Malaysia CBRE WTW di sini hari ini.

Sebelum ini. menurut Kementerian Kewangan berdasarkan metodologi ‘Median Multiple’ yang dibangunkan Demographia International dan disyorkan oleh Bank Dunia serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menilai pasaran rumah di bandar, sesebuah rumah dikatakan mampu milik sekiranya isi rumah boleh membiayainya kurang daripada tiga kali pendapatan tahunan.

Ia mencadangkan harga rumah sehingga RM165,060 sebuah adalah mampu milik kepada isi rumah pertengahan di Malaysia. Bagaimanapun, hanya 21 peratus perumahan baharu yang dilancarkan berharga di bawah RM250,000 sebuah pada 2014 memandangkan pemaju lebih tertarik untuk membina hartanah mewah mencecah lebih setengah juta.

Menurut Tinjauan Prospek Pasaran Hartanah Asia Pasifik-Malaysia CBRE WTW, jumlah kondominium mewah di Kuala Lumpur mencecah sebanyak 37,824 buah setakat penghujung 2016.

Daripada jumlah itu, sebanyak 86 peratus daripada kondominium mewah sedia ada berharga antara RM700 hingga RM1,000 kaki persegi (standard) itu akan menurun sehingga 64 peratus menjelang 2019.

Bagi kondominium kelas atasan yang berharga antara RM1,001 hingga RM1,500 kaki persegi dijangka mencatat pertumbuhan pesat dengan purata 4,000 buah setahun dengan penguasaan 23 peratus daripada jumlah kondominium dalam tempoh dua tahun lagi.

Menurut Gee Jen, pelaburan hartanah akan terus menjadi pilihan pelabur berbanding jenis pelaburan yang lain apatah lagi akses kepada kemudahan pe­ngangkutan yang lebih lengkap pada masa akan datang.

Katanya, akses pengangkutan seperti MRT, LRT dan kereta api berkelajuan tinggi secara tidak langsung akan melonjakkan peluang pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak.

“Dalam masa sama, pasaran dijangka mendatar tahun ini dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh harga komoditi yang rendah, pertumbuhan ekonomi yang perlahan di negara-negara ekonomi utama dan ketidaktentuan politik terutama Brexit dan Donald Trumph yang baharu dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS