Tak Ramai Membeli Rumah Pada Tahun 2020?
=======================
Ramai kata jangan beli rumah? Ramai kata tangguh beli rumah sebab Covid? Ramai kata tunggu Covid reda baru beli?
Hakikatnya apa yang berlaku mungkin diluar jangkaan kebanyakan anda.
Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara NAPIC) transaksi hartanah pada tahun 2020 sebenarnya tidak jauh berbeza atau menjunam teruk berbanding tahun 2019 walaupun berlaku wabak pandemik Covid-19 dan juga perlaksanaan PKP.

Berikut perbandingan transaksi antara tahun 2019 dan 2020:-
- Bilangan transaksi hartanah adalah sebanyak 295,968 unit pada 2020 berbanding 328,647. Pengurangan hanya sebanyak 9.9%. Ini boleh dikatakan tidak jauh berbeza memandangkan apa yang berlaku pada 2020.
- Nilai transaksi hartanah pada 2020 adalah RM119 Billion berbanding RM141 Billion pada 2019. Pengurangan sebanyak 15.8%.
- Hartanah kediman masih kekal sebagai sektor yang paling tinggi transaksi iaitu sebanyak 191,354 (64.7% dari keseluruhan transaksi).
- Hartanah bernilai bawah RM300K menjadi penyumbang terbesar transaksi berbanding hartanah yang bernilai RM300K dan ke atas.
- Hartanah pada julat harga RM300K-RM500K paling kurang terkesan pada tahun 2020 berbanding 2019 dengan hanya pengurangan transaksi sebanyak 7.1%.
- Hartanah pada julat harga melebihi RM1.0 juta paling terkesan pada tahun 2020 berbanding 2019 dengan pengurangan transaksi sebanyak 18.5%.
- Transaksi hartanah tertinggi pada tahun 2020 adalah di Selangor dan diikuti oleh Perak dan Johor.
- Perak dan Terengganu merekodkan bilangan transaksi lebih tinggi pada 2020 berbanding 2019.
Kesimpulan ringkas berdasarkan data pasaran hartanah 2020 dan apa yang boleh anda rancang dan jangkakan untuk 2021:-
- Penurunan transaksi (pindahmilik) hartanah tetap berlaku tetapi tidaklah begitu teruk terkesan seperti yang dijangkakan kebanyakan pihak.
- Sekiranya anda merancang untuk membeli hartanah/rumah pada harga di bawah RM300K, teruskan pembelian anda kerana hartanah pada julat harga ini tidak begitu terkesan dan kekal mendapat permintaan tinggi. Menangguhkan pembelian mungkin boleh menyebabkan anda terlepas peluang pada masa hadapan.
- Sekiranya anda berada di Selangor, anda mungkin terpaksa lebih bersaing dengan bakal-bakal pembeli lain untuk membeli hartanah/rumah pada harga di bawah RM500,000 berdasarkan transaksi yang berlaku.
- Sekiranya anda merancang untuk membeli hartanah/rumah pada harga lebih RM1.0juta, anda mungkin mempunyai lebih banyak pilihan berdasarkan pada transaksi yang teruk terkesan. Tidak perlu tergesa-gesa dan ambil masa untuk menilai dan membuat tawaran yang terbaik sebelum membeli.
- Sekiranya anda merancang untuk membeli di Perak atau Terengganu, mungkin anda boleh memberi perhatian yang lebih kerana permintaan kekal tinggi pada 2020 berbanding 2019 walaupun berlakunya pandemik dan PKP.
Seperti yang selalu saya nyatakan, di dalam pasaran hartanah tidak ada syarat atau peraturan yang sama dan terpakai secara menyeluruh. Jika harga rumah teres meningkat di sesuatu kawasan, tidak bermakna semua kawasan di negeri atau daerah berkenaan meningkat dan jika transaksi menurun di negeri tersebut tidak bermakna semua kawasan di negeri berkenaan mengalami penurunan permintaan.
Maklumat di atas adalah berdasarkan NAPIC dan kesimpulan adalah berdasarkan pemerhatian dan pendapat penulis. Sila buat pertimbangan sewajarnya sebelum membeli.
Sumber Data : NAPIC
Comment