SHARE AND LIKE THIS POST

Terlalu banyak sebenarnya isu yang bangkit berkaitan tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa baru-baru ini.  Antara yang paling menarik perhatian saya adalah mengenai isu ‘kekebalan’ Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Apakah sebenarnya kekebalan yang dimaksudkan ini?

‘Kekebalan’ yang dimaksudkan adalah PBT TIDAK BOLEH dikenakan tindakan walaupun terbukti ianya adalah disebabkan oleh kesilapan dan kecuaian mereka. Klaus ini adalah termaktub dibawah Seksyen 95(2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang melindungi PBT.

Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Highland Towers sebelum ini juga membuktikan satu lagi sebab di mana peruntukan tersebut perlu disemak semula bagi kepentingan awam.  Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2006 tersebut telah mengenepikan Mahkamah Rayuan terdahulu yang telah menolak rayuan Arab Malaysian Finance Bhd (AmFinance) dan tiga defendan lain yang didapati cuai berhubung tragedi Highland Towers dan mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong yang memutuskan defenda cuai dan gagal melaksanakan kewajipan berjaga-jaga masing-masing pada tahun 2003 (maklumat lanjut kes, klik di sini).

Jadi, apakah dengan perlindungan yang ada ini menyebabkan wujudnya ruang untuk berlaku kecuaian atau kegagalan untuk melaksanakan tindakan yang sepatutnya?

Adakah ianya menyebabkan permohonan yang diberikan tidak sepenuhnya diteliti sebelum diberikan kelulusan kerana disebabkan wujud ‘kekebalan’ ini jika sesuatu yang buruk berlaku?  Bukan maksud untuk mempertikaikan profesionalisme pihak terbabit, tetapi saya berpendapat jika peruntukan tersebut dikaji semula seperti tidak memberikan kekebalan sepenuhnya, pastinya mereka yang terlibat di dalam sesuatu kelulusan projek akan lebih memberikan ketelitian terhadap permohonan yang diberikan.  Ini bermakna jika didapati mereka sememangnya tidak melakukan kecuaian dan perkara yang sepatutnya telah dipatuhi, maka tiada sebab untuk dikenakan tindakan.

Walaupun banyak permintaan yang mahukan klaus ini disemak semula, di dalam masa yang sama saya juga berpendapat ianya berkaitan juga dengan perkara-perkara yang lain. Ini termasuklah di peringkat awal proses kelulusan pembangunan itu sendiri di mana ianya perlu diperketatkan lagi dan pembangunan tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan dan diberikan kelulusan.

Difahamkan PBT sememangnya mendapat keuntungan yang tinggi dengan memberikan kelulusan pembangunan yang diberikan untuk kawasan seperti tanah tinggi.  Oleh itu, kelulusan di kawasan seperti ini tidak seharusnya diserahkan semata-mata kepada PBT. Ianya perlu juga mendapat KELULUSAN daipada pihak yang berkaitan dan pakar di dalam bidang tertentu seperti Jabatan Geologi (dan sebagainya) dan bukan sekadar mendapat laporan pendapat sahaja.

Ini kerana selama ini pihak-pihak seperti Jabatan Geologi hanya boleh memberikan laporan kajian mereka sahaja dan saya pasti ianya sekadar tatapan PBT dan tidak benar-benar diambilkira oleh PBT dalam memberikan kelulusan pembangunan.  Ini kerana asasnya adalah mudah kelulusan projek=$$ (tiada projek tiada $$)…

Sekali lagi saya benar-benar menyeru kerajaan dan pihak-pihak berkaitan supaya benar-benar mengambil kejadian kali ini sebagai pengajaran untuk kebaikan di masa hadapan.

Comment

1 komen

  1. Sedikit tambahan kepada posting di atas.. cadangan daripada Ahli Parlimen Balik Pulau untuk mengemukakan/menjadikan dokumen kelulusan projek ditatap oleh pihak umum amat saya sokong. Semoga selepas ini orang awam akan mengetahui lebih lanjut siapakah yang bertanggungjawab dalam memberikan kelulusan kepada sesuatu projek…

BERI MAKLUM BALAS