Belum reda kes tanah runtuh di Ulu Yam.. terjadi pula kes yang sama di Jalan Semantan, Damansara. Ketika saya sendiri belum sempat membaca lebih lanjut mengenai kes di Jalan Semantan, kita semua dikejutkan semula dengan tragedi yang lebih ngeri yang berlaku awal pagi Sabtu di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa Ampang/Ulu Kelang.
Sebelum saya meneruskan lagi posting ni, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada semua mangsa yang terlibat, terutamanya yang melibatkan kehilangan nyawa kepada ahli keluarga mereka.
Memang tidak dinafikan kes-kes yang berlaku ini semuanya dikaitkan dengan kejadian hujan lebat yang berterusan akhir-akhir ini tetapi tragedi buruk di Bukit Antarabangsa ini bukanlah kali pertama dan setiap kali apabila berlaku ianya pasti melibatkan kehilangan nyawa. Sehingga saya menulis posting ini, dilaporkan kehilangan nyawa adalah seramai 4 orang dan berpuluh orang telah tercedera dan dihantar untuk mendapatkan rawatan termasuklah seorang ibu yang mengandung 9 bulan serta warga emas.
Dan ketika ini jugalah kenyataan-kenyataan popular yang tidak asing lagi dikeluarkan oleh mereka yang berkenaan serta pihak-pihak berkuasa.. Ini termasuklah.. “akan menghentikan pembangunan”, tidak meluluskan permohonan pembangunan baru”, “mengkaji struktur kekuatan tanah” dan pelbagai lagi yang saya fikir akan hilang begitu sahaja apabila keadaan kembali reda. Dan kepada mereka yang terlibat, kesannya pasti selama-lamanya… Dengan kerosakan kerugian yang tidak ditanggung pihak insurans, pastinya ia akan menambah lagi beban kepada mereka yang terlibat.
Ketika ini juga saya pasti ramai yang akan menuding jari kepada pemaju kerana membangunkan kawasan ini tanpa memikirkan kesan selepas pembangunan. Kepada pemaju pula, mereka akan mengatakan permohonan pembangunan mereka diluluskan adalah berdasarkan kepada kelulusan yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Dan ada juga yang akan mengatakan pembeli juga bertanggungjawab kerana mereka yang membuat pilihan untuk membeli di mana yang mereka inginkan.
Bagi saya, setiap pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Keadaan seperti ini sememangnya tidak dapat diduga tetapi ianya mungkin dapat dielakkan pada masa hadapan jika semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Apa yang saya benar-benar harapkan kali ini adalah kerajaan akan kotakan apa yang mereka katakan. Tindakan tegas seharusnya diambil.. tiada lagi pembangunan di kawasan cerun melebihi 30 darjah dan kawasan yang cenderung kepada tanah runtuh seperti Bukit Antarabangsa perlulah sentiasa dipantau.
Tragedi telah berlaku… berpuluh rumah telah musnah, nyawa telah hilang.. dan adakah kerajaan masih ingin bertolak ansur dengan pemaju? Nilai hartanah dikawasan ini juga telah jatuh dengan teruk.. dan saya fikir lebih banyak bank akan menolak untuk memberi pinjaman di kawasan ini selepas apa yang berlaku sebelum ini. Kesannya kepada siapa? Pastinya kepada pemilik rumah di kawasan ini! Dan yang untungnya adalah siapa? Pastinya pemaju yang mengaut keuntungan dan melupakan apa yang berlaku…
Semoga kejadian kali ini benar-benar akan memberikan pengajaran keapda kita semua..