SHARE AND LIKE THIS POST

Kuala Lumpur: Kenaikan cukai keuntungan hartanah (RPGT) yang diumumkan dalam Bajet 2013 tidak akan menjejaskan industri itu di Malaysia, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Bendahari Kebangsaannya, NK Tong berkata, kenaikan kadar RPGT lebih menggalakkan pembeli hartanah untuk mengambil pendekatan jangka panjang dan tidak menjual hartanah mereka dengan segera.

 “Jika pembeli mahu membeli hartanah, mereka tidak akan menjualnya pada tahun-tahun terdekat. Lebih lama pembeli menyimpan hartanah mereka, lebih tinggi nilai hartanah itu,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Bajet 2013 mencadangkan RPGT dinaikkan kepada 15 peratus daripada 10 peratus untuk hartanah yang dijual dalam tempoh dua tahun pertama dan kepada 10 peratus daripada lima peratus bagi hartanah yang dijual selepas tiga hingga lima tahun.

Bagaimanapun, RPGT tidak dikenakan ke atas keuntungan daripada penjualan harta perumahan pertama, pindah milik berasaskan kasih sayang antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak serta antara datuk nenek dan cucu.

Sementara itu, bekas Presiden REHDA, Datuk Ng Seing Liong berkata Malaysia agak terasing daripada masalah ekonomi di zon Euro.

“Dasar kita agak berhemat. Mengikut statistik, kita sekarang mempunyai cukup rumah untuk semua dan setiap tahun kita memerlukan 100,000 hingga 200,000 (unit rumah baru),” katanya.
Bertemakan ‘Di rumah dan Di Luar Negara’, siri akhir Mapex Lembah Kelang 2012 akan diadakan mulai 19 Oktober hingga 21 Oktober di Pusat Pameran Mid Valley.

Siri akhir Mapex tarik 50,000 pelawat

“Kami menjangkakan menerima lebih 50,000 pelawat di acara itu. Kami juga menjangkakan mencapai jualan RM500 juta sepanjang Mapex 2012,” kata Ng.
Acara itu dijadual dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.

Lebih 70 pemaju hartanah tempatan dan satu pemaju hartanah asing telah mendaftar untuk pameran itu sementara 12 institusi kewangan akan mengambil bahagian. – BERNAMA

Comment

BERI MAKLUM BALAS