Rasanya dah banyak sangat komen sebelum ni mengenai Bukit Antarabangsa… seminggu yang lepas tak abis-abis isu mengenai sehinggalah kepada penurunan harga hartanah di kawasan berkenaan.
Apa yang saya ingin kongsi kali ini bukanlah lanjutan kepada isu Bukit Antarabangsa tetapi mempunyai sedikit kaitan dengan penurunan harga terhadap hartanah di Malaysia terutamanya di Lembah Klang. Minggu lepas saya sempat bersembang dengan beberapa orang yang terlibat dalam bidang hartanah termasuklah banker, valuer dan auctioneer dan masing-masing mempunyai pendapat tersendiri tetapi secara amnya mereka semua sependapat mengenai keadaan ekonomi yang semakin lemah tahun hadapan dan seterusnya memberi kesan terhadap pasaran hartanah.
Saya fikir ramai diantara kita juga sudah mulai nampak kesannya dan saya jangkakan kesannya akan bermula terhadap hartanah apartment/kondominium terutamanya yang berharga RM200,000 ke atas – termasuklah kondo mewah di KLCC dan Bangsar.
Pendapat ini adalah berdasarkan pemerhatian saya terhadap hartanah jenis ini sejak beberapa bulan yang lepas dan di atas beberapa faktor:-
- Bilangan apartment/kondo yang dibina dalam kategori ini adalah melebihi permintaan dan pembangunannya terlalu pesat sejak beberapa tahun yang lalu.
- Permintaan sewa yang lemah seterusnya menyebabkan pemilik terpaksa menjual pada harga yang lebih rendah dari harga belian kerana semata-mata tidak mahu menanggung kerugian setiap bulan akibat terpaksa membayar balik pinjaman yang tinggi.
- Pembinaan yang semakin berterusan tetapi sambutan yang amat rendah.
- Pembeli yang semakin berhati-hati akibat daripada keadaan ekonomi semasa.
Selain itu saya juga dimaklumkan bahawa sesetengah projek hartanah mewah telah merekodkan pembeli membatalkan pembelian mereka (dan sanggup menanggung kerugian booking/deposit hangus) atas sebab-sebab ekonomi yang lemah ini. Cuba bayangkan.. jika harga kondo mewah ini berharga RM1 juta atau lebih, booking deposit biasanya adalah 2% dan deposit awal pula adalah 10%. Ini sahaja sudah bernilai sekurang-kurangnya RM20,000 sehingga RM100,000! Adakah mereka ini menghadapi masalah kewangan atau terdapat sebab lain yang menyebabkan mereka berbuat demikian? Pada pendapat saya kebanyakan mereka bukanlah mereka yang mempunyai masalah kewangan tetapi mereka ini bolehlah saya katakan orang yang ‘bijak’ kerana mungkin mereka telah menjangkakan sesuatu yang lebih menguntungkan di masa hadapan. Bagi mereka, hartanah jenis ini akan mengalami kejatuhan harga yang lebih teruk di masa hadapan dan mereka akan dapat membelinya semula pada harga yang jauh lebih rendah dan pada harga yang lebih baik daripada apa yang mereka ‘korbankan’ pada masa sekarang.
Maksud saya di sini sebagai contoh, jika mereka membeli kondo berkenaan pada harga RM1 juta dan telah membayar 2% maka nilai yang mereka sanggup korbankan adalah RM20,000 atau mungkin RM100,000 (10%) jika deposit penuh telah dibayar. Bagi kebanyakan kita RM20,000 sendiri itu amatlah besar dan mengapa mereka sanggup berbuat demikian? Ini kerana mereka menjangkakan apabila nilai kondo berkenaan jatuh pada 20% pada masa akan datang, maka mereka akan dapat menjimatkan lebih wang mereka iaitu dengan hanya membelinya pada harga RM800,000 berbanding RM1 juta.
Saya juga dapat melihat pada masa ini sesetengah kondo-kondo mewah ini mula memberikan diskaun kepada pembeli dan ada kondominium yang pada mulanya diisytiharkan habis dijual kembali meletakkan papan tanda untuk dijual..
Apartment/kondo di jalan Ipoh juga berlaku penurunan 10% – 15% pada tahun ini sahaja dan berdasarkan harga permintaan (asking price) yang diiklankan, harganya terus menurun mungkin di atas sebab-sebab permintaan yang saya nyatakan di atas.
Bagi hartanah landed (seperti teres dan sebagainya) harga boleh dikatakan masih stabil berdasarkan permerhatian saya dan hartanah favourite saya (kos sederhana rendah) yang berharga RM120,000 ke bawah masih mampu mengekalkan permintaan (sewa) bagi yang terletak di kawasan yang strategik. Itulah sebabnya walaupun dengan keadaan ekonomi yang lemah sekarang ini saya masih yakin dengan hartanah jenis ini kerana walaupun keadaan ekonomi menurun akan tetap ada permintaan terhadapnya kerana orang (penyewa) masih memerlukan rumah untuk didiami tetapi pada harga yang berpatutan.


